Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Penasihat Kehormat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Datuk Seri Dr Hasmiza Othman bercadang mewujudkan program kelas mengaji al-Quran khas untuk pemain Kelantan beragama Islam dalam tempoh terdekat ini.

Langkah itu wajar bagi membolehkan semua pemain skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) memperoleh ketenangan jiwa ketika bermain bola.

Dr Hasmiza yang lebih dikenali Dr Vida berkata, idea itu tercetus selepas mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat di banglo barunya setinggi empat tingkat di Meru Hills, Ipoh di Perak, Jumaat lalu.

Katanya, bukan mahu menganggap dirinya ‘alim’, tetapi beliau beranggapan tidak salah jika mahu memberi asuhan terbaik kepada pemain.

“Kelas mengaji itu akan dibuat dua atau tiga kali seminggu di Kota Bharu, bergantung kepada kesesuaian masa pemain, namun, ia tidak akan mengganggu waktu latihan atau jadual perlawanan mereka.

“Saya sendiri akan mencari guru mengajar al-Quran untuk mereka dan kelas secara percuma itu akan diadakan selama satu atau dua jam pada waktu malam,” katanya.

Pelbagai pembaharuan dan pendekatan dilakukan Dr Vida demi menaikkan semula imej pasukan Kelantan termasuk mengecat Stadium Sultan Muhammad IV yang bernilai RM1 juta.

Dr Vida berkata, beliau juga berhasrat mengeluarkan pakaian jubah Muslim untuk peminat PQPTRW selepas ramai berminat mendapatkannya.

Katanya, corak atau bentuk jubah yang direkanya itu agak ‘simple’, selain mutu fabriknya tidak panas serta selesa dipakai.

“Setakat ini, ada dua versi warna iaitu merah dan ungu. Berkemungkinan besar, ia dipasarkan kepada umum dalam tempoh terdekat.

“Saya mahu pasukan PQPTRW selain dikenali sebagai gergasi bola sepak Pantai Timur, juga boleh menjadi contoh kepada pasukan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 7:32 AM