RONALDO bersalaman dengan Kvaratskhelia selepas pemain Portugal itu digantikan ketika menentang Georgia. FOTO Agensi
RONALDO bersalaman dengan Kvaratskhelia selepas pemain Portugal itu digantikan ketika menentang Georgia. FOTO Agensi
Agensi

Gelsenkirchen, Jerman: Ia malam yang tidak akan dilupakan dalam hidup penyerang Georgia berusia 23 tahun, Khvicha Kvaratskhelia.

Dia bukan sahaja menjadi inspirasi kemaraan Georgia ke peringkat kalah mati Euro 2024 semalam, tetapi juga merealisasikan impian zaman kanak-kanaknya dengan beraksi menentang Cristiano Ronaldo.

Georgia pasukan yang mempunyai ranking terendah dalam Kejohanan Eropah tahun ini dan tidak ramai memberi peluang kepada negara itu untuk melepasi peringkat kumpulan dalam penampilan pertama di kejohanan utama.

Namun mereka menepis semua tanggapan sinis itu dengan menampilkan aksi mengagumkan ketika menewaskan Portugal 2-0 untuk mara dari Kumpulan F menerusi jaringan awal Kvaratskhelia dan penalti separuh masa kedua daripada Georges Mikautadze.

"Ini hari terbaik dalam hidup rakyat Georgia. Semua orang sangat gembira, kami baru sahaja mencipta sejarah. Tiada siapa percaya kami akan melakukannya dan kalahkan Portugal. Tetapi saya rasa inilah sebabnya kami pasukan yang kuat," kata Kvaratskhelia selepas perlawanan.

Tular video di media sosial menunjukkan kegembiraan pasukan di bilik persalinan, dengan Kvaratskhelia memakai jersi Ronaldo.

Pemenang lima kali Ballon d'Or, Ronaldo gagal menyerlah sepanjang perlawanan tetapi beliau memberikan jersinya kepada Kvaratskhelia walaupun tewas.

Sebelum perlawanan, tersebar foto di media sosial yang menunjukkan Ronaldo berdiri di tengah-tengah sekumpulan kanak-kanak dalam satu lawatan ke Akademi Tbilisi pada 2013.

Menariknya, salah seorang kanak-kanak itu adalah Kvaratskhelia, yang kemudian memuat naiknya ke 'Instagram Story' miliknya.

Penyerang Napoli itu juga sempat berbual dengan idolanya sebelum perlawanan dan berkata Ronaldo mengucapkan selamat berjaya kepadanya.

"Apabila dia datang kepada saya sebelum perlawanan dan dia mengatakan selamat berjaya kepada saya, itu sesuatu yang luar biasa.

"Saya sedar sebenarnya saya boleh melakukannya dan kami boleh melakukan banyak perkara hari ini kerana ia memberi kami begitu banyak insentif," tambah Kvaratskhelia.

Sebelum meraikan kemenangan dengan rakan sepasukan, Kvaratskhelia berlari untuk menenangkan Ronaldo selepas wisel penamat. Namun, Portugal masih layak sebagai juara kumpulan walaupun tewas.

Bintang Georgia itu kemudian memuat naik gambar baju Ronaldo dengan anugerah pemain terbaik perlawanan di Instagram, dengan kapsyen "Impian."

Walaupun membantu Napoli memenangi gelaran Siri A pada 2023, Kvaratskhelia berkata mengalahkan Portugal dan mara ke peringkat kalah mati untuk negaranya adalah pencapaian terbesar dalam kariernya setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 10:14 AM