ONN Hafiz Ghazi bersama Dr Vivian ketika melepaskan 100 ekor burung merpati sebagai simbol di titik tengah sempadan Malaysia-Singapura. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ONN Hafiz Ghazi bersama Dr Vivian ketika melepaskan 100 ekor burung merpati sebagai simbol di titik tengah sempadan Malaysia-Singapura. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sebanyak 100 burung merpati dilepaskan pada sambutan 100 tahun Tambak Johor yang diadakan di titik tengah sempadan Malaysia-Singapura di atas tambak berkenaan, hari ini.

Ia sebagai simbolik semangat setiakawan dan persaudaraan rapat antara Malaysia dan Singapura.

Pelepasan 100 burung merpati itu disempurnakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bersama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

Tunku Mahkota Ismail dan Vivian turut bertukar plak cenderahati kenangan membabitkan ukiran 100 Tahun Tambak Johor.

Terdahulu, Pemangku Sultan Johor tiba tepat jam 9 pagi di titik tengah sempadan sebelum disambut Onn Hafiz dan Vivian.

Sejurus tamat acara sambutan ringkas, Onn Hafiz dan semua barisan Exco Johor melawat pameran 100 Tahun Tambak Johor di Muzium Tokoh Johor Bahru.

Hari ini Tambak Johor dilaporkan genap berusia 100 tahun, sekali gus secara simboliknya menandakan hubungan utuh satu abad antara dua negara berjiran yang hanya dipisahkan dengan tambak batuan granit sepanjang 1,056 meter.

Ia bukan sekadar penghubung antara Malaysia iaitu Johor Bahru dan Singapura, malah amat berjasa memudahkan jutaan rakyat kedua negara yang berulang alik.

Sejarah panjang Tambak Johor bermula pada 1920 apabila ia mula dibina berikutan keperluan mendesak menghubungkan Tanah Melayu dan Singapura untuk membawa barang dagangan susulan kewujudan pelabuhan besar di republik itu.

Sebelum itu, Tanah Melayu dan Singapura hanya dihubungkan dengan feri dan sampan sebagai pengangkutan utama bagi membawa barang dagangan serta membolehkan orang ramai berulang alik.

Akhirnya selepas empat tahun dibina dengan sejumlah 1.15 juta meter kubik batuan granit diletakkan sebagai tambak akhirnya Tambak Johor dirasmikan pada 28 Jun 1924.

Selepas 100 tahun, Tambak Johor dirasmikan Sultan Ibrahim Sir Sultan Abu Bakar, acara sambutan rasmi ke-100 tambak itu hari ini disempurnakan generasi kelima Kesultanan Johor, iaitu Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 10:29 AM