LIM meninjau perkembangan berkaitan pembinaan Rumah Sepak Takraw PDRM.
LIM meninjau perkembangan berkaitan pembinaan Rumah Sepak Takraw PDRM.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: LBS Foundation, organisasi yang mentadbir inisiatif tanggungjawab sosial korporat bagi syarikat pemaju perumahan rakyat, LBS Bina Group Berhad, mengumumkan sumbangannya terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui kerja membaik pulih Rumah Sepak Takraw PDRM.

Pemegang Amanah LBS Foundation, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San berkata, PDRM sudah banyak menyumbang kepada negara dan sumbangan itu memberi manfaat kepada rakyat Malaysia untuk hidup tenteram, aman dan damai.

"Oleh itu, LBS Foundation merasa terpanggil untuk menyumbang kepada PDRM.

"Kami berbesar hati untuk terbabit di dalam usaha untuk membantu pasukan Sepak Takraw Polis Diraja Malaysia melalui projek membaik pulih dan menambah baik rumah ini.

"Kami percaya dengan sumbangan ini akan membantu menaikkan semangat pasukan di samping menyediakan pasukan ini dengan persekitaran yang kondusif selaras dengan usaha mereka untuk konsisten mencapai kemenangan selanjutnya," katanya di majlis perasmian Rumah Sepak Takraw PDRM di sini, semalam.

Hadir sama, Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) PDRM, Senior Asisten Komisioner Muhammad Izham Jaafar dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur merangkap Pengelola Sepak Takraw PDRM, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh.

LIM (tengah) bersama Muhammad Idzam (empat dari kiri) dan Sarifudin (tiga dari kiri) pada pelancaran Rumah Sepak Takraw PDRM.
LIM (tengah) bersama Muhammad Idzam (empat dari kiri) dan Sarifudin (tiga dari kiri) pada pelancaran Rumah Sepak Takraw PDRM.

Sejak beberapa tahun lalu, LBS Foundation sentiasa konsisten membantu PDRM dalam pelbagai usaha amal seperti pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands (IPDCH), Pahang, menyediakan kemudahan dan penginapan pejabat untuk balai polis di Bandar Saujana Putra, Selangor dan pembinaan Dewan Jaya LBS, di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor.

Kolaborasi sebegini ini menunjukkan kepentingan jalinan kerjasama dan usaha tanggungjawab sosial korporat yang membawa manfaat kepada masyarakat.

Pada 22 Mei 2024 lalu, Pasukan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa, apabila muncul juara Piala Dunia Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) 2024 dan berjaya menewaskan pasukan Thailand yang terkenal dengan kehandalan mereka dalam sukan terbabit.

Lebih menarik lagi, salah seorang ahli pasukan juara berkenaan adalah warga PDRM.

Selaras dengan misi untuk membantu mereka yang memerlukan, LBS Foundation amat berbangga atas sumbangan yayasan terhadap kejayaan Pasukan Sepak Takraw Polis.

Kerja membaik pulih mengambil masa kira-kira dua ke tiga bulan dan menelan belanja lebih RM70,000.

Selain itu, fokus utama pembaikan semula ini adalah untuk membaik pulih dan menambah baik bangunan yang berusia lebih 50 tahun sekali gus mengekalkan reka bentuk kolonial British, yang dianggap sebagai satu reka bentuk unik dan semakin pudar di negara kita.

LBS Foundation juga kekal komited terhadap bantuan berterusan kepada komuniti yang memerlukan sekali gus memupuk perubahan yang positif.

Ia dengan berpaksikan empat nilai tunjang utama yang memberi tumpuan kepada aspek kemasyarakatan, kesihatan, pendidikan dan persekitaran.

"Kami berharap sumbangan sebegini bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah memberi inspirasi kepada individu dan organisasi untuk menyokong pasukan tempatan, sekali gus menjadi contoh positif kepada pembabitan dan pembangunan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 10:51 AM