.Gajah jantan liar yang berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan di Kampung Lepan Anjung, Dabong, Rabu lalu.. FOTO IHSAN JABATAN PERHILITAN
.Gajah jantan liar yang berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan di Kampung Lepan Anjung, Dabong, Rabu lalu.. FOTO IHSAN JABATAN PERHILITAN
Oleh Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Dua daripada empat gajah liar yang berkeliaran dan menimbulkan ketakutan penduduk Kampung Lepan Anjung di Dabong di sini berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, kelmarin.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, seekor gajah jantan liar ditangkap menggunakan ubat pelali kira-kira jam 10 pagi, manakala seekor lagi ditangkap pada 12 tengah hari.

Katanya, berdasarkan pemerhatian dan pemantauan semasa yang dilakukan ke atas dua gajah liar itu mendapati keduanya berada dalam keadaan sihat serta stabil.

"Pemindahan dua gajah liar itu ke lokasi yang bersesuaian, selamat dan jauh dari penempatan manusia akan dilakukan dalam waktu terdekat," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, terdahulu pada 20 Jun lalu, Pejabat Perhilitan Daerah Kuala Krai menerima aduan berkenaan empat gajah liar yang berkeliaran di sekitar Kampung Lepan Anjung.

"Bertindak atas aduan itu, empat anggota dari Pejabat Perhilitan Daerah Kuala Krai melakukan tindakan pemantauan dan kawalan sehingga 22 Jun.

"Pada keesokan hari, Unit Tangkapan Gajah (UTG), Jabatan Perhilitan Negeri Kelantan melaksanakan Operasi Tangkap Pindah (OTP) gajah di kawasan berkenaan yang turut dibantu oleh kakitangan Pejabat Perhilitan Daerah Kuala Krai," katanya.

Katanya, kumpulan gajah liar itu dipercayai sudah keluar dari hutan simpan yang berdekatan dengan Kampung Lepan Anjung iaitu Hutan Simpan (HS) Gunung Stong Utara.

"Justeru, pihak Jabatan Perhilitan ingin memaklumkan bahawa tangkapan dan pemindahan gajah liar ini bukanlah penyelesaian jangka panjang.

"Ini disebabkan kampung ini terletak berhampiran dengan kawasan hutan yangcmenjadi habitat asal hidupan liar berkenaan," katanya.

Mohamad Hafid berkata, orang ramai juga disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan bahaya keselamatan kepada diri sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 10:32 AM