ISRAEL memintas roket yang dilancarkan dari Lubnan. FOTO Reuters
ISRAEL memintas roket yang dilancarkan dari Lubnan. FOTO Reuters
AFP

Beirut: Hizbullah membedil puluhan roket ke pangkalan tentera di utara Israel pada Khamis, sebagai tindak balas terhadap serangan rejim Zionis ke Lubnan yang mengorbankan seorang pejuang kumpulan disokong Iran itu.

Kebimbangan mengenai perang berskala besar antara Israel dan Hizbullah meningkat, ekoran lonjakan ancaman daripada kedua-dua pihak beberapa minggu lalu, selain mereka saling berbalas tembakan di sempadan sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Kebimbangan perang di Gaza juga melonjak dan dikhuatiri boleh menjadi bencana serantau, sekiranya kebanyakan konflik Israel-Hizbullah yang kini terhad di kawasan sempadan, berkembang.

Hizbullah berkata, pejuangnya mengebom pangkalan utama pertahanan udara dan peluru berpandu di utara, dengan puluhan roket Katyusha, sebagai tindak balas terhadap serangan musuh yang menyasarkan bandar Nabatiyeh dan kampung Sohmor.

Pihaknya juga mengakui membuat dua serangan ke atas kedudukan dan tentera Israel, termasuk satu menggunakan dengan dron semalam, manakala Agensi Berita Nasional (NNA) melaporkan serangan Israel di beberapa kawasan di selatan Lubnan.

Katanya, seorang pejuang dari Sohmor maut, selepas NNA melaporkan dron musuh menyasarkan motosikal di kampung dekat timur negara berkenaan.

Sementara itu, rejim Zionis dalam kenyataan berkata, kira-kira 35 serangan dikenal pasti dilancarkan dari Lubnan dan pasukan udara berjaya mematahkan hampir keseluruhannya, selain tiada kecederaan dilaporkan.

Selain itu katanya, tiada kecederaan dilaporkan susulan serangan dua UAV (dron) di utara Israel yang dikenal pasti dilancarkan dari sempadan Lubnan.

Tentera Israel berkata, seorang anggota Hizbullah maut dalam serbuan di Sohmor, selain melaporkan serangan di selatan Lubnan.

NNA semalam melaporkan lebih 20 cedera selepas bangunan dua tingkat menjadi sasaran serangan Israel di Nabatiyeh, selatan Lubnan kelmarin.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, ketika lawatan ke Washington kelmarin, menegaskan enggan berperang dengan Lubnan, tetapi berupaya menjadikan negara itu kembali ke 'Zaman Batu', jika gagal dalam proses rundingan.

Di tengah-tengah usaha diplomatik Barat untuk mengurangkan ketegangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock pada Selasa memberi amaran bahawa "salah perhitungan" boleh mencetuskan perang besar antara Israel dan Hizbullah.

Keganasan kebelakangan ini membunuh 482 orang di Lubnan, kebanyakannya pejuang tetapi juga termasuk 94 orang awam, menurut pengiraan AFP.

Di pihak Israel, sekurang-kurangnya 15 askar dan 11 orang awam terbunuh, menurut pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 10:31 AM