SPALLETTI (kiri) dan jurulatih Switzerland  Murat Yakin bakal catur strategi terbaik ketika kedua-dua pasukan bertemu tengah malam esok.
SPALLETTI (kiri) dan jurulatih Switzerland Murat Yakin bakal catur strategi terbaik ketika kedua-dua pasukan bertemu tengah malam esok.
AFP

Berlin: Juara bertahan Itali akan menentang Switzerland di peringkat 16 terakhir Euro 2024 malam esok selepas berhempas pula dalam aksi peringkat kumpulan.

Azzurri memerlukan jaringan penyamaan minit ke-98 menerusi Mattia Zaccagni ketika menentang Croatia untuk menduduki tangga kedua Kumpulan B, lima mata di belakang pendahulu Sepanyol.

Jurulatih Luciano Spalletti berkata, pasukannya berhak mara tetapi tetap mengkritik prestasi pemainnya selepas tamat aksi terakhir kumpulan.

Pengendali berusia 65 tahun itu turut membidas media dan sesiapa sahaja yang meletakkan tekanan ke atas pasukannya tetapi mengakui pasukannya semakin meningkat di kejohanan itu.

"Semua yang mereka lakukan tampak semakin baik, daripada perspektif saya," katanya.

Nada sama turut ditegaskan penyerang Lazio Zaccagni, 29, yang berpendapat pasukannya mampu melepasi peringkat kalah mati.

"Kini kami hanya memikirkan persiapan sangat penting menentang Switzerland," katanya kepada laman web Uefa.

"Kami tahu skuad kebangsaan selalu menderita tetapi bangkit pada masa yang tepat dan kami berharap dapat melakukannya."

Switzerland kendalian Murat Yakin diperkuatkan beberapa pemain beraksi di Serie A termasuk penjaga gol Inter Milan Yann Sommer dan trio Bologna Dan Ndoye, Remo Freuler serta Michel Aebischer.

"Kami menonton banyak video Switzerland. Mereka pasukan kompak, bermain sesama sendiri dan pastinya aksi hebat menentang mereka," tambah Zaccagni.

Itali akan beraksi tanpa Riccardo Calafiori yang digantung satu perlawanan tetapi Zaccagni berkata, dia sedia beraksi walaupun mengalami sedikit kecederaan ketika meraikan jaringan lewat bersama rakan sepasukan.

Pemenang di antara Itali dan Switzerland akan menentang sama ada England atau Slovakia di suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 9:56 AM