Pengerusi Karyawan, Datuk Khadijah Ibrahim menyampaikan ucapan di Majlis Semarak Zulhijjah dan Bacaan Yassin dan Tahlil Persatuan Karyawan Malaysia di Surau Ibadurrahman  PPR Kampung Limau, Kerinchi. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Pengerusi Karyawan, Datuk Khadijah Ibrahim menyampaikan ucapan di Majlis Semarak Zulhijjah dan Bacaan Yassin dan Tahlil Persatuan Karyawan Malaysia di Surau Ibadurrahman PPR Kampung Limau, Kerinchi. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Lebih 150 tetamu menghadiri Majlis Semarak Zulhijah anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang berlangsung malam tadi di Surau Ibadurrahman Program Perumah Rakyat (PPR) Kampung Limau, Lembah Pantai, di sini.

Mereka yang hadir terdiri daripada penggiat seni, media, ahli kariah serta penduduk setempat. 

Pengerusi Karyawan, Datuk Khadijah Ibrahim berkata, program diisi dengan bacaan Yasin dan tahlil untuk penggiat seni yang sudah meninggal dunia itu turut menyaksikan sumbangan daripada Karyawan kepada pihak surau berkenaan.

"Kita menyumbangkan sedikit sumbangan kepada surau. Insya-Allah, selepas ini kita akan adakan lebih banyak lagi kerja-kerja amal untuk semua rakan-rakan seperjuangan kita. Kami ingin anjurkan program begini sebanyak mungkin.

"Baru-baru ini, kami anjurkan program korban dan ramai sekali yang datang. Alhamdulillah. Apa yang Karyawan lakukan sekarang ini adalah untuk membantu mereka yang memerlukan," katanya kepada Harian Metro.

Dianjurkan bagi memperingati mereka yang sudah pergi antaranya bekas wartawan hiburan, Allahyarham Kamal Huzaini Kamaludin (Huzz), Datuk Hail Amir, Pyan Habib, Jaafar Onn dan ramai lagi, Khadijah juga memilih lokasi itu kerana itu adalah surau kegemaran sahabatnya, Huzz.

"Lokasi ini adalah lokasi kegemaran arwah Huzz. Dia suka datang sini setiap kali kalau kami nak anjurkan program makan-makan. Sebab itu saya pilih surau ini sebab nak memperingatinya. 

"Huzz seorang yang lemah lembut. Dalam bertanya soalan, cara bercakap, penulisannya sentiasa berlapik. Saya memang selalu selesa dengannya. Kalau dia cakap nak interview, saya rasa sangat senang hati. 

"Malam ini, saya dapat masakkan masakan kegemarannya iaitu Ayam Daun Kari. Selalu, kalau dia tak dapat hadir pun ke program saya, saya akan bungkuskan untuknya," katanya. 

Sementara itu, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata program amal Karyawan akan diteruskan dan pihaknya akan menziarahi beberapa penggiat seni yang berdepan dugaan kehidupan.

"Kami ada beberapa nama penggiat seni dan dalam seminggu dua ini, kami akan adakan kunjungan ke rumah mereka yang memerlukan. Ada seorang artis yang saya dapat tahu alami masalah penglihatan adalah pemenang Pilih Kasih, Iqbal. 

"Jadi, saya akan tengok apa yang boleh dibantu untuk dia meneruskan kehidupannya. Mungkin saya akan pergi sendiri atau bersama pasukan daripada Karyawan," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 10:09 AM