TUNKU Mahkota, Onn Hafiz bersama Dr Vivian ketika penyerahan cenderamata pada Majlis  Sambutan rasmi ulang tahun ke-100 Tambak Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
TUNKU Mahkota, Onn Hafiz bersama Dr Vivian ketika penyerahan cenderamata pada Majlis Sambutan rasmi ulang tahun ke-100 Tambak Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sambutan 100 tahun Tambak Johor akan memperkukuh dan mengeratkan lagi semangat kejiranan antara Johor, Malaysia dan Singapura.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata sambutan itu amat bermakna buat Malaysia dan Singapura kerana disambut selepas 100 tahun kewujudan Tambak Johor.

"Alhamdulillah hari ini kita lihat sendiri sambutan 100 Tahun Tambak Johor.

"Ia sangat signifikan untuk warga Johor, Malaysia dan Singapura.

"Kerajaan Johor menjunjung kasih ke atas keberangkatan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sudi mencemar duli menghadiri sambutan 100 Tahun Tambak Johor.

"Kita harap sambutan ini akan mengukuh dan eratkan lagi semangat kejiranan antara Johor, Malaysia dan Singapura," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Onn Hafiz dan semua barisan Exco Johor melawat pameran 100 Tahun Tambak Johor di Muzium Tokoh, di sini.

Sebelum itu, Onn Hafiz dan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan menyambut Tunku Mahkota Ismail di titik sempadan Malaysia-Singapura bagi sambutan rasmi 100 Tahun Tambak Johor.

Sebanyak 100 burung merpati dilepaskan pada sambutan 100 tahun Tambak Johor yang diadakan di titik tengah sempadan Malaysia-Singapura di atas tambak berkenaan, hari ini

Ia sebagai simbolik semangat setiakawan dan persaudaraan rapat antara Malaysia dan Singapura.

Pelepasan 100 burung merpati itu disempurnakan Pemangku Sultan Johor bersama Onn Hafiz dan Vivian.

Tunku Mahkota Ismail kemudian menyaksikan Onn Hafiz dan Vivian bertukar plak cenderahati kenangan membabitkan ukiran 100 Tahun Tambak Johor.

Hari ini Tambak Johor dilaporkan genap berusia 100 tahun, sekali gus secara simboliknya menandakan hubungan utuh satu abad antara dua negara berjiran yang hanya dipisahkan dengan tambak batuan granit sepanjang 1,056 meter.

Ia bukan sekadar penghubung antara Malaysia iaitu Johor Bahru dan Singapura, malah amat berjasa memudahkan jutaan rakyat kedua negara yang berulang alik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 10:32 AM