SHEIKH Ekrima Sabri. FOTO AFP
SHEIKH Ekrima Sabri. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Imam Masjid Al-Aqsa pada Khamis mengecam kempen 'rekaan' terhadapnya selepas dikatakan menghasut keganasan kerana didakwa memuji lelaki bersenjata Palestin yang membunuh empat warga Israel, termasuk seorang askar.

Sheikh Ekrima Sabri, 85, bekas mufti Baitulmaqdis dan kini ketua Majlis Tertinggi Islam di Baitulmaqdis, berkhutbah di tapak Masjid Al-Aqsa yang menjadi rebutan itu.

Sabri berdepan pendakwaan minggu ini kerana menghasut keganasan kerana ulasan yang dibuatnya didakwa menyokong penyerang yang menembak pengawal di penempatan Tebing Barat yang diduduki di Maale Adumim, dengan seorang askar rejim turut terbunuh, pada Oktober 2022.

Imam itu juga dituduh memuji penyerang kedua, Raad Hazam, yang membunuh tiga warga Israel dan mencederakan enam yang lain dalam kejadian April 2022 di Tel Aviv.

Lelaki berusia 28 tahun itu kemudiannya terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan pengawal keselamatan.

"Pejabat peguam negara menyerahkan kepada mahkamah majistret Baitulmaqdis satu dakwaan terhadap bekas mufti bandar itu selepas dia menghasut keganasan dan memuji pengganas," kata kementerian kehakiman dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ia berkata, Sabri "memuji dan bersimpati dengan pengganas" semasa lawatan ke rumah keluarga Hazam.

Sabri menafikan dakwaan itu dan berkata, beliau hanya mengucapkan takziah kepada keluarga penyerang selepas kematian mereka.

"Ini adalah tuduhan palsu. Dakwaan itu adalah rekaan dan berniat jahat.

"Mengucapkan takziah tidak bermakna kami menyokong apa yang dilakukan oleh kanak-kanak itu," katanya.

Peguam Sabri, Khaled Zabarqa berkata, anak guamnya menjadi sasaran atas sebab politik.

"Dakwaan itu adalah hasil tindakan politik dan bukan tindakan undang-undang. Syeikh itu telah dianiaya selama dua tahun," katanya kepada AFP.

Perkarangan Masjid Al-Aqsa, yang juga dikenali oleh orang Yahudi sebagai Temple Mount adalah tapak suci yang dianggap masjid ketiga terpenting dalam Islam selepas Makkah dan Madinah.

Tapak itu, juga tempat paling suci bagi orang Yahudi, terletak di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, yang ditawan Israel dalam Perang Enam Hari 1967 - satu langkah yang tidak diiktiraf oleh majoriti masyarakat antarabangsa.

Rakyat Palestin menyifatkan Baitulmaqdis Timur yang diduduki adalah ibu kota sebagai negara Palestin merdeka pada masa depan.

Status tapak adalah 'pusat emosi' kepada konflik Israel-Palestin. Orang Yahudi secara rasmi hanya dibenarkan melawat perkarangan Masjid Al-Aqsa, tetapi tidak berdoa. Tetapi ramai rakyat Palestin takut Israel mungkin cuba untuk menegaskan kawalan selanjutnya ke atas masjid itu.

Beberapa pegawai Israel berulang kali menolak idea itu, tetapi Menteri Keselamatan Negara sayap kanan kerajaan itu, Itamar Ben Gvir pada bulan ini menyeru supaya orang Yahudi dibenarkan berdoa di tapak sensitif itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 10:12 AM