Mohd Na'im (enam dari kiri) bersama rombongan wakil pengurusan tertinggi UIAM yang mengadakan kunjungan hormat ke pejabatnya semalam. FOTO Ihsan pembaca
Mohd Na'im (enam dari kiri) bersama rombongan wakil pengurusan tertinggi UIAM yang mengadakan kunjungan hormat ke pejabatnya semalam. FOTO Ihsan pembaca
Samadi Ahmad


Putrajaya: Cadangan penubuhan Konsortium Hospital Islam Malaysia di negara ini sedang diperhalusi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi sebarang bentuk cadangan bersesuaian.

Katanya, konsep itu sudah dikemukakan Jakim dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi program Hospital Mesra Ibadah (HMI).

"Semoga apa yang dicadangkan ini akan dipermudahkan Allah SWT, "katanya selepas menerima kunjungan hormat wakil pimpinan tertinggi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) semalam.

Rombongan UIAM itu diketuai Rektornya, Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jakim, Zamani Ahmad, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail, wakil Pusat Kesihatan Sultan Ahmad Shah UIAM, Hospital Pakar Al-Islam dan Hospital Pakar An-Nur.

Sebelum ini 10 hospital di bawah KKM menerima pengiktirafan sebagai Hospital Mesra Ibadah (HMI) kerana menyediakan fasiliti serta khidmat bimbingan untuk pesakit menunaikan ibadah ketika menerima rawatan.

Hospital berkenaan ialah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu; Hospital Serdang dan Hospital Shah Alam di Selangor; Hospital Taiping dan Hospital Teluk Intan di Perak.

Mohd Na'im berkata, pada pertemuan itu pihaknya turut bertukar pandangan dengan wakil UIAM ke arah memperkukuh konsep dan pengisian hospital mesra ibadah.

Menurutnya, beliau terbuka untuk memperhalusi cadangan UIAM itu semoga apa yang dihasratkan akan dipermudahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 10:21 AM