Pengarah Bahagian Agama dan Kaunseling Jabatan Penjara Malaysia, Timbalan Komisioner Penjara, Zaidi Hamid (kiri) dan Pengarah Penjara Pahang, Datuk Abu Hasan Hussain (dua dari kiri) bertemu banduan yang sedang belajar di Sekolah Takfiz Baitul Hikmah Penjara Penor. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Pengarah Bahagian Agama dan Kaunseling Jabatan Penjara Malaysia, Timbalan Komisioner Penjara, Zaidi Hamid (kiri) dan Pengarah Penjara Pahang, Datuk Abu Hasan Hussain (dua dari kiri) bertemu banduan yang sedang belajar di Sekolah Takfiz Baitul Hikmah Penjara Penor. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: "Hati saya kini tenang selepas berpeluang belajar agama serta dapat menghafal enam juzuk al-Quran," kata banduan yang mahu dikenali sebagai Azrol, 32.

Menurutnya, selepas bergelumang dengan dosa sebagai tokan dadah beberapa tahun, akhirnya dia ditangkap pihak berkuasa di Jeti Tekek, Pulau Tioman, pada 2020 ketika dalam perjalanan untuk menghantar dadah kepada pengedar di pulau peranginan itu.

Katanya, episod itu mengubah segala-galanya, apabila kemewahan dikecapi sebelum ini berubah serta-merta apabila dia menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun dan 20 sebatan di Penjara Penor.

Dia berkata, keinsafan muncul selepas mengikuti pengajian agama di bawah Program Tafaqquh Fiddin di Masjid As-Syakirin Penjara Penor.

"Di Sekolah Takfiz Baitul Hikmah, saya bersama 17 banduan lain mengikuti program menghafal al-Quran, setiap hari kami terbabit dengan aktiviti menghafal dengan tunjuk ajar beberapa ustaz.

"Alhamdulillah, selepas dua tahun setengah mengikuti program menghafal, saya kini berjaya menghafal enam juzuk al-Quran, Allah membuka seluasnya hati saya untuk mendekati agama selepas sebelum ini lalai dengan kehidupan dunia.

"Selepas diberi peluang belajar di Sekolah Takfiz Baitul Hikmah saya bertekad menebus kesilapan lalu dan ingin bertaubat. Berkat doa ibu bapa, akhirnya kejayaan dapat dicapai," katanya ketika ditemui Program Tautan Kasih Takfiz Baitul Hikmah di Penjara Penor, di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Pengarah Bahagian Agama dan Kaunseling Jabatan Penjara Malaysia, Timbalan Komisioner Penjara, Zaidi Hamid.

Program menghafal al-Quran julung kali diadakan dengan kerjasama Yayasan Pahang itu yang pertama diadakan di penjara di negara ini.

Azrol yang akan bebas Oktober ini berkata, sebelum bebas, dia berharap dapat menghafal dua hingga tiga juzuk lagi. Setiap hari, dia meluangkan masa antara empat hingga lima jam untuk menghafal menggunakan kaedah hafal sebanyak 40 kali.

"Bebas nanti saya bercadang untuk memulakan hidup baharu di kampung, mendekatkan diri dengan masyarakat dan terus belajar agama. Saya ingin berada bersama ibu ayah dan adik-beradik yang lama ditinggalkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 9:50 AM