PEMAIN Kelantan gigih  lonjak prestasi pasukan.
PEMAIN Kelantan gigih lonjak prestasi pasukan.
Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Penaja utama Kelantan Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menafikan viral yang mengatakan beliau bakal memberikan bonus sebanyak RM10,000 jika Kelantan berjaya mengalahkan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) di Stadium Tan Sri Hj Hassan Yunos, Larkin, Rabu depan.

Bagi Hasmiza atau Dr Vida, viral yang tersebar luas menerusi laman Facebook sejak kelmarin adalah janji lama ketika pertemuan kedua-dua pasukan itu pada pusingan pertama Liga Super, 8 April lalu.

Bagaimanapun, jutawan kosmetik Vida Beauty Sdn Bhd itu tidak menafikan kemungkinan memberi ganjaran istimewa kepada pemain Kelantan seandainya mereka berjaya menaikkan semula nama pasukan.

Penasihat Kehormat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) itu memaklumkan, setakat ini beliau agak berpuashati dengan prestasi anak buah Velizar Popov ketika menentang Pahang, Terengganu dan Selangor yang berkesudahan dengan dua kemenangan serta satu seri.

Dr Vida berkata, beliau turut memuji Popov yang bijak memilih pemian import Wanderer Luiz dan Morgaro Lima Gomis yang ternyata berjaya mengembalikan semula rentak sebenar permainan Kelantan.

Katanya, selaku penaja utama, itulah yang diinginkan selama ini kerana pemberian bonus dan sebagainya bergantung kepada prestasi pasukan.

“Saya adalah peniaga yang bergantung sepenuhnya kepada jualan produk Vida Beauty Sdn Bhd. Jika prestasi pasukan terbaik dan juga jualan kami laris, saya tidak teragak-agak untuk beri sesuatu kepada mereka.

“Apa pun, saya mengharapkan semua pemain Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) mengekalkan momentum terkini, sekurang-kurangnya layak ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia,” katanya.

Dr Vida adalah penaja utama PQPTRW musim ini dengan jumlah pelaburan kira-kira RM8 juta setahun demi kemajuan bola sepak Kelantan termasuk pembayaran gaji kepada pemain.

Ketika ditanya mengenai KAFA yang berjaya melunaskan hutang sebanyak RM355,000 kepada lima bekas pemain Kelantan musim lalu, Dr Vida berkata, itulah sepatutnya yang dilakukan oleh badan induk berkenaan bagi mengelak pasukan dikenakan tindakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Katanya, bukan beliau enggan membantu menyelesaikan masalah itu tetapi disebabkan ia berlaku pada musim lalu, pihak KAFA perlu menyelesaikannya sendiri.

“Saya berharap musim ini tidak berulang perkara sama. Malah, saya juga menggesa penyokong PQPTRW membeli produk keluaran syarikatnya seperti Pamoga dan juga jersi.

“Bila produk laris, duit akan masuk dan saya pasti akan menggunakannya untuk pembayaran bonus kepada pemain dan secara tidak langsung, prestasi pasukan akan terus meningkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 8:39 AM