TRAORE (kanan) antara empat import Kelantan yang gagal menyerlah.
TRAORE (kanan) antara empat import Kelantan yang gagal menyerlah.
Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Bukan dua, tapi empat sekali.

Itu pendirian Penasihat Kehormat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang mahu pemain import Kelantan ditukar bagi menghadapi pusingan kedua Liga Super.

Beliau yang juga penaja utama pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) percaya import Dramane Traore, Jonatan Lucca, Blazhe Illijoski dan Jonathan McKain tidak membawa hasil ketara kepada skuad itu.

Sehubungan itu, katanya, lebih baik semua pemain itu digantikan dengan muka baharu yang lebih segar dan mampu mengangkat pasukan sebagai jagoan Pantai Timur.

Walaupun baru mengenali dunia bola sepak, ilmu dipelajari beliau sepanjang lawatan ke Eropah bulan lalu banyak membantunya menilai kualiti import pilihan yang sepatutnya dimiliki PQPTRW.

Wanita besi itu yang senang disapa Dr Vida itu berkata, cadangannya itu bukan bermaksud beliau tidak menghormati cadangan Tan Sri Annuar Musa yang memberi bayangan dua import akan ditukar.

“Kami bercakap soal memperkasakan Kelantan dan saya melihat keempat-empatnya perlu ditukar, bukan dua sebaik jendela perpindahan pemain dibuka.

“Kos tukar pemain import tidak termasuk dalam tajaan RM8 juta musim ini dan sekiranya mereka perlu ditukar, memaksa saya keluarkan duit lain.

“Untuk elakkan rugi, lebih baik saya pilih sendiri sama ada pemain pertahanan, tengah mahupun penyerang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kemelut pemain import Kelantan semakin panas selepas skuad kendalian K Devan dikritik ekoran prestasi import tidak memberangsangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 6:23 AM