Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pasukan pendakwaan terhadap kes lelaki Israel yang berdepan dua tuduhan memiliki 200 peluru dan memperdagangkan enam pucuk pistol memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, dokumen seperti rakaman litar tertutup (CCTV) di hotel dan laporan forensik belum diserahkan kepada pihak pembelaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam memaklumkan demikian ketika sebutan semula kes dihadapi lelaki yang juga memiliki pasport warga negara Perancis, Avitan Shalom, 38, di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin.

Dalam prosiding hari ini, Mohamad Mustaffa berkata, majoriti dokumen berhubung kes itu sudah diserahkan kepada pasukan pembelaan diketuai peguam Datuk Naran Singh.

"Beberapa dokumen saja belum diserahkan antaranya rakaman CCTV dan analisis forensik.

"Kami memohon mahkamah memberi masa sebulan untuk sebutan kes seterusnya, bagi membolehkan kami menyerahkan semua dokumen dan penyediaan pembelaan," katanya.

Sementara itu, Naran mengesahkan perkara itu dan tidak membantah tempoh masa yang dimohon pihak pendakwaan.

SHALOM yang didakwa atas pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 200 butir peluru dibawa ke Mahkamah Sesyen. FOTO Saifullizan Tamadi
SHALOM yang didakwa atas pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 200 butir peluru dibawa ke Mahkamah Sesyen. FOTO Saifullizan Tamadi

"Kami juga bersetuju sekiranya tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan," katanya.

Mendengar perkara itu, mahkamah menetapkan 30 Julai untuk pengurusan kes seterusnya untuk serahan dokumen tambahan terbabit.

Sebelum ini mahkamah menetapkan sembilan hari bermula 30 September ini bagi perbicaraan kes itu.

Tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 30 September, 1 hingga 3 Oktober yang kemudian bersambung pada 7 hingga 11 Oktober.

Pada 12 April lalu, Shalom didakwa di atas tuduhan memperdagangkan enam pistol jenis Glock 19 USA 9 x 19, Sig Sauer P320SP, Cougar 8000 FT, Glock 17 Gen4 Austria, M&P 9C Smith & Wesson Spring Field MA USA dan Stoeger Cougar 8000F (pindaan pada nombor siri) di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, antara jam 6.46 petang, 26 Mac hingga 6 petang, 28 Mac lalu.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, Shalom didakwa memperdagang enam jenis pistol antara jam 6.46 petang, 26 Mac dan 6 petang, 28 Mac lalu di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini.

Enam pistol berkenaan adalah Glock 19 USA 9x 19 (sebelum ini 9x 10), Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, M&P (sebelum ini N&P), 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F (pindaan pada nombor siri).

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sebat tidak kurang enam kali.

Bagi pertuduhan pindaan kedua membabitkan pertambahan bilangan peluru, pada masa, tarikh dan tempat sama.

Shalom didakwa memiliki satu kotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd yang masing-masing mengandungi 50 butir peluru, 16 butir peluru yang berada di dalam senjata api Glock 17, 11 butir peluru yang berada di dalam senjata api, M&P 9C Smith & Wesson dan 15 butir peluru dalam senjata api, Stoeger Cougar 8000F.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 10:46 AM