PENIAGA melihat ruang niaga premis kedai emas disediakan MBKT di Pasar Kedai Payang Satu. FOTO Baharom Bakar
PENIAGA melihat ruang niaga premis kedai emas disediakan MBKT di Pasar Kedai Payang Satu. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Segelintir peniaga di Pasar Kedai Payang 2 di sini terpaksa menggadai dan menjual barang kemas untuk membayar wang pendahuluan ruang niaga di Pasar Kedai Payang Satu yang kadar sewanya dinaikkan sehingga 400 peratus.

Berdasarkan surat tawaran bagi ruang niaga kedai emas seluas 3.048 meter persegi, peniaga terpaksa menjelaskan bayaran pendahuluan termasuk bayaran papan tanda berjumlah RM5,130 sebelum kunci diserahkan.

Peniaga perlu membayar wang pendahuluan sewaan tiga bulan berjumlah RM2,400, bayaran papan iklan (RM1,600), amanah kunci (RM100), amanah letrik (RM100), perjanjian sewa (RM100) dan RM30 untuk bayaran surat akuan sewa serta bayaran bulanan RM800.

Tinjauan mendapati jika keluasan kedai emas 6.096 meter dan 3.048 meter, kadar bayaran sewa termasuk wang pendahuluan, bayaran papan iklan dikenakan adalah sebanyak RM8,330.

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyediakan sebanyak 63 ruang niaga premis kedai emas di Pasar Kedai Payang 1 yang akan dibuka secara berperingkat berkuat kuasa Ahad ini.

Bagaimanapun, tinjauan mendapati kebanyakan peniaga ruang niaga premis kedai emas belum lagi membuat pemindahan barangan, terutama peti besi dan almari perhiasan, walaupun sudah membayar wang pendahuluan.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Terengganu (PPPKKT), Zakaria Yusof berkata, pihaknya sudah menghantar surat rayuan pengurangan harga kepada MBKT.

Bagaimanapun katanya, setakat ini PPPKKT belum menerima maklum balas surat rayuan pengurangan harga sewaan ruang niaga yang dinaikkan sehingga 40 peratus, jika dibandingkan antara RM110 hingga RM400 sebulan di Pasar Kedai Payang 2.

"Kita dimaklumkan, keputusan pengurangan kadar sewa semua ruang niaga premis di Pasar Kedai Payang 1 membabitkan kos pembinaan berjumlah RM76 juta itu akan diputuskan oleh kerajaan negeri.

"Kertas cadangan pengurangan kadar sewa, termasuk bayaran pendahuluan serta kos papan iklan itu akan dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah pada mesyuarat EXCO," katanya.

Mengulas lanjut, Zakaria mengesahkan ada antara peniaga terpaksa menggadaikan dan menjual barang kemas untuk membayar wang pendahuluan seperti ditetapkan MBKT.

"Kita mewakili lebih 400 peniaga mengharapkan permohonan pengurangan kadar sewa dapat diberi pertimbangan oleh kerajaan negeri.

"Dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan, kita berpendapat belum masa sesuai untuk kerajaan negeri termasuk MBKT menaikkan kadar sewaan ruang niaga premis di Pasar Kedai Payang 1," katanya.

Ketika mengulas hasil perbincangan awal antara PPPKKT dan MBKT awal bulan ini, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif bersetuju memulangkan wang pendahuluan ruang niaga di Pasar Kedai Payang Dua.

"Pemulangan wang pendahuluan berjumlah antara RM330 hingga RM1,200 itu tidak dapat membantu meringankan beban yang terpaksa ditanggung peniaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 10:41 AM