DR Vida melihat motosikal yang dihias dengan bertemakan Qu Puteh sempena Majlis Pertandingan Menghias Kenderaan PQPTRW di Wisma KAFA.
DR Vida melihat motosikal yang dihias dengan bertemakan Qu Puteh sempena Majlis Pertandingan Menghias Kenderaan PQPTRW di Wisma KAFA.

Kota Bharu: Penasihat Kehormat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Datuk Seri Dr Hasmiza Othman bersedia melelong cincin kesayangannya bagi membantu badan induk itu menyelesaikan kemelut tunggakan gaji pemain musim lalu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Dr Vida sedia mempertimbangkan untuk berbuat demikian jika lima pemain sanggup memenuhi syaratnya yang memerlukan mereka khatam al-Quran.

Katanya, syarat itu ditetapkan bukan kerana mahu menghukum sesiapa, sebaliknya menilai kesungguhan ditunjukkan dalam menyelesaikan kemelut itu, selain amalan (khatam al-Quran) dituntut Islam.

“Saya pernah berseloroh hendak melelong cincin saya semata-mata mahu bayar tunggakan gaji itu dengan syarat lima orang (pemain) kena khatam al-Quran sekali atau lebih.

“Saya akan tengok kesungguhan pemain dan jika mereka (pemain) mahu masalah tunggakan gaji diselesaikan segera, mereka perlu memenuhi hasrat (khatam al-Quran) itu,” katanya.

Beliau memahami masalah itu dan percaya semua pihak sanggup bergadai dan menjual barang kesayangan sekiranya terbabit sama.

Kelantan berdepan masalah tunggakan lima pemain musim lalu membabitkan jumlah lebih RM400,000.

Dalam pada itu, seorang anggota polis, Suzana Lim, 29, dinobatkan pemenang Pertandingan Menghias Kenderaan Bertemakan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW), sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

Beliau menghias Perodua Myvi miliknya yang dinamakan Suzana Qu Puteh sempena pertandingan yang diadakan selama sebulan dan turut menempah mahkota diperbuat daripada besi berharga RM700 sebagai lambang pengasas Qu Puteh.

“Tidak dinafikan, hati saya agak berdebar sebaik melihat kenderaan peserta lain semuanya hebat belaka dan langsung tidak menaruh harapan tinggi untuk menjadi juara,” katanya.

Sebanyak 50 kenderaan termasuk 12 motosikal dari kelab motosikal berkuasa tinggi Man Tera menyertai pertandingan anjuran Vida Beauty Sdn Bhd itu yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 9:04 AM