FOTO Ihsan FB Tourism Johor
FOTO Ihsan FB Tourism Johor
Omar Ahmad

Johor Bahru : Taman Negara Johor Gunung Ledang (Lagenda) dan Air Terjun Gunung Ledang dekat Tangkak di sini ditutup sementara kepada pengunjung, ekoran laporan berkenaan kes Leptospirosis atau kencing tikus yang dilaporkan dalam kawasan daerah Tangkak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon berkata, penutupan selama dua minggu itu berkuatkuasa hari ini hingga 10 Julai depan.

Katanya makluman penutupan ini diperoleh daripada Pejabat Kesihatan Daerah Tangkak.

"Notis Perintah Tutup adalah mengikut tindakan di bawah Seksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Sampel telah diambil di kawasan Taman Negara Johor Gunung Ledang (Lagenda) dan Air Terjun Gunung Ledang serta mengambil kira faktor pencegahan awal serta keselamatan awam, perintah penutupan ini perlu dilaksanakan.

"Penutupan ini juga bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan supaya kawasan tersebut selamat bagi pengunjung yang akan hadir pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 6:04 PM