SUltan Ibrahim  melambai tangan ke arah rakyat jelata sebelum meninggalkan Bukit Gambir Supporters Hub untuk meneruskan perjalanan ke Muar.
SUltan Ibrahim melambai tangan ke arah rakyat jelata sebelum meninggalkan Bukit Gambir Supporters Hub untuk meneruskan perjalanan ke Muar.
Hai Rozzaman Jalal


Tangkak: Bahang kemenangan Piala FA oleh pasukan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) terus dirasai apabila rombongan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2016 disambut lagu Luaskan Kuasamu Johor oleh Kumpulan Kempling Kontemporari Daerah Tangkak, semalam.

Kemeriahan pada hari ketiga itu dapat dilihat ketika rombongan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar singgah di Bukit Gambir Supporters Hub (BGSH) di sini, selain lagu dipersembahkan bersama Kumpulan Kompang Parit Kassan Dinamik sebagai dedikasi kemenangan pasukan Harimau Selatan.

Kumpulan Kempling Kontemporari Daerah Tangkak adalah gabungan Perkumpulan Kempling Parit Kassan Ledang dengan Persatuan Warisan Seni Ledang (PEWANIL) di bawah pimpinan Penyelaras Kebudayaan Daerah Tangkak.

Naib Pengerusi Perkumpulan Kempling Parit Kassan Ledang, Mohd Janis Abu Bakar berkata gabungan kesenian kempling tradisional dengan alat muzik moden seperti gitar memberikan nafas baru dalam persembahan diadakan oleh kumpulan terbabit.

Katanya, pihaknya berbangga kerana dapat membuat persembahan sempena sambutan KMJ 2016 sekaligus mempersembahkan beberapa buah lagu.

“Sebelum ini, kumpulan kami pernah membuat persembahan di Stadium Educity, Iskandar Puteri sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Johor pada Mac lalu.

“Kami bertuah apabila diundang sekali lagi untuk membuat persembahan sempena kedatangan rombongan keluarga diraja sempena KMJ 2016 diketuai Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar yang memandu trak Mack untuk bertemu dengan rakyat jelata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 7:09 AM