Notis Penutupan yang tular di media sosial. FOTO IHSAN FACEBOOK
Notis Penutupan yang tular di media sosial. FOTO IHSAN FACEBOOK
Omar Ahmad


TAMAN Eco Rimba Gunung Pulai Satu di Kulai, Johor, ditutup selama dua minggu bermula semalam susulan kes leptospirosis (kencing tikus).

Pegawai Daerah Kulai, Mohd Radzi Mohd Amin berkata, pihaknya mendapat makluman penutupan itu dari Pejabat Kesihatan Daerah Kulai.

Katanya, notis perintah tutup itu adalah tindakan di bawah Seksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Penutupan ini adalah susulan beberapa kes leptospirosis yang dilaporkan di kawasan itu dan bagi menjalankan kerja pembersihan operator taman berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohd Radzi, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengunjungi pusat rekreasi berkenaan sementara tugas pembersihan dilakukan.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk membilas badan dengan air paip setiap kali mandi di air terjun di kawasan terbabit,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial gambar Notis Penutupan Gunung Pulai Satu dari Jabatan Kesihatan Negeri Johor akibat kencing tikus.

Pusat Rekreasi Gunung Pulai, sebelum ini pernah ditutup antara Mei dan Jun 2017 juga akibat kencing tikus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 3:44 PM