LALUAN ke Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang di Tangkak. FOTO Ahmad Ismail
LALUAN ke Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang di Tangkak. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


PERBADANAN Taman Negara Johor, hari ini menutup sementara semua kawasan aktiviti luar di Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang berikutan keadaan jerebu.

Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Hanis Musalman Salehan berkata, penutupan sementara kepada semua aktiviti luar di sekitar Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang dilakukan bagi menjaga keselamatan pengunjung berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Tangkak ketika ini berada di paras amat tidak sihat.

“Bacaan IPU sehingga tengah hari tadi mencatatkan 254 dan ia dikategorikan sebagai amat tidak sihat. Berikutan itu, kami mengambil keputusan menutup kawasan aktiviti luar di Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pengunjung terjamin.

“Kami tidak mahu kesihatan pengunjung terutama bayi, kanak-kanak dan warga emas yang datang bersama keluarga terjejas akibat jerebu terutama ketika berkhemah bersama keluarga masing-masing.

“Secara puratanya kami menerima 900 pengunjung sebulan dari dalam dan luar negara untuk melakukan pelbagai aktiviti termasuk mendaki gunung, melihat flora dan fauna, mandi di kolam dan memerhati burung sejak taman ini dibuka pada 2005,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tempoh mendaki Gunung Ledang selama kira-kira enam jam dan perjalanan turun selama empat jam dengan jumlah keseluruhan kira-kira 10 jam adalah tempoh terlalu lama untuk terdedah dengan jerebu dan dikhuatiri akan membahayakan kesihatan pengunjung.

“Kami hanya akan membuka semula operasi selepas pemantauan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati bacaan IPU kembali normal di kawasan ini.

“Berikutan itu, kami memohon orang ramai yang membuat tempahan bagi pengesahan semula atau mereka yang ingin berkunjung ke sini supaya menghubungi 019-7772057 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Ia bagi mengelak kekeliruan kerana pengurusan Perbadanan Taman Negara Johor di Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang berbeza dengan pengurusan pusat rekreasi Gunung Ledang yang terletak beberapa kilometer dari kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, pengunjung dari Selangor, Naim Abd Hamid, 46, berkata, tidak membuat tempahan awal untuk melakukan aktiviti bersama keluarga namun terkejut apabila tiba di lokasi, mereka dimaklumkan petugas keselamatan bahawa taman itu ditutup sementara akibat jerebu.

Walaupun sedih, katanya, dia sekeluarga akur kerana tindakan itu dilakukan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pengunjung terjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 6:29 PM