Mohamed Farid Noh

Tangkak: Lebih 3,000 pengunjung membanjiri air terjun Hutan Lipur Gunung Ledang di sini, semalam untuk beriadah susulan kebenaran rentas negeri.

Tinjauan mendapati pengunjung membanjiri kawasan air terjun seawal jam 7 pagi dan semakin ramai pengunjung tiba menjelang tengah hari sekali gus menyebabkan kesesakan berlaku di pintu masuk utama berikutan pertambahan kenderaan.

Pengunjung, Haslinda Kamal Mustafa, 30, dari Gombak, Selangor berkata dia mengambil kesempatan mengunjungi hutan lipur itu selepas pulang ke kampung halaman di Felda Palong Timur 2, Segamat, sejak Sabtu.

Katanya, selepas hampir setahun tidak pulang ke kampung, dia dan suami serta dua anak dan lima ahli keluarga yang lain mengambil peluang untuk bersantai di air terjun itu.

"Kami sekeluarga bergerak jam 7.30 pagi dan tiba jam 9 pagi, namun tidak menjangkakan pengunjung terlalu ramai.

"Kami sentiasa berwaspada dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup ketika berjalan masuk malah syarat hanya pengunjung sudah lengkap vaksin dibenarkan masuk ke air terjun memang memberi kelegaan," katanya ketika ditemui.

SUASANA sesak dipenuhi pengunjung yang beriadah bersama keluarga seawal 8 pagi pada hujung minggu di Hutan Lipur Gunung Ledang, Tangkak. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SUASANA sesak dipenuhi pengunjung yang beriadah bersama keluarga seawal 8 pagi pada hujung minggu di Hutan Lipur Gunung Ledang, Tangkak. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Sementara itu, pengunjung Ismail Ali, 43, berkata beliau turut terkejut melihat terlalu ramai pengunjung mengunjungi Gunung Ledang, semalam.

Katanya, beliau menjangkakan Ahad tidak ramai pengunjung berkunjung ke situ berikutan ia adalah hari kerja untuk warga Johor.

"Saya dan keluarga mula bergerak dari Pasir Gudang jam 4 pagi supaya tidak bertembung ramai pengunjung.

"Namun apabila sampai jam 7 pagi, kami dapati lokasi ini dipenuhi pengunjung. Oleh kerana sudah sampai, kami meneruskan hasrat untuk berkelah sekejap sahaja sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 1:11 PM