Sejumlah 2,400 kg gas petroleum cecair dirampas oleh KPDN Selangor dalam serbuan di  Sungai Pelek, Sepang, semalam. FOTO Ihsan KPDN SELANGOR
Sejumlah 2,400 kg gas petroleum cecair dirampas oleh KPDN Selangor dalam serbuan di Sungai Pelek, Sepang, semalam. FOTO Ihsan KPDN SELANGOR
Amirul Aiman Hamsuddin


Shah Alam: Jadikan stor haram dalam ladang kelapa sawit yang jauh dari kawasan perumahan sebagai `markas' rahsia pengumpulan dan pemindahan gas petroleum cecair (LPG) secara tidak sah.

Itu modus operandi sindiket penyelewengan membabitkan kegiatan pemindahan gas bersubsidi (decanting) demi mengaut keuntungan daripada harga subsidi.

Bagaimanapun aktiviti haram di Sungai Pelek, Sepang itu berjaya dihidu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang melakukan serbuan, jam 4 petang semalam.

Ketua Sektor Operasi Seksyen Penguatkuasaan KPDN Selangor, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, serbuan membabitkan tujuh anggota penguat kuasa itu dijalankan susulan risikan selama dua minggu.

"Berdasarkan maklumat awal risikan, wujud hubungan urus niaga meragukan di antara stor haram dengan premis pemborong gas yang berada di kawasan sekitar," katanya.

Mohd Shahran berkata, pemeriksaan lanjut di stor itu mendapati premis itu tidak mempunyai lesen menyimpan barang kawalan LPG.

"Turut ditemui sebuah lori lima tan dengan muatan tong LPG dipercayai untuk tujuan pengedaran.

"Kami menahan lima lelaki terdiri daripada dua warganegara dan tiga warga Myanmar masing-masing berusia 35 hingga 45 tahun. Mereka berperanan sebagai pemandu lori dan kelindan.

"Turut ditemui adalah peralatan seperti hos penyambung dan tong yang berisi ais di lokasi kejadian.

"Ia dipercayai digunakan dalam aktiviti pemindahan gas daripada tong LPG 14 kilogram (kg) (bersubsidi) kepada tong LPG 50 kg kegunaan industri tidak bersubsidi," katanya.

Mohd Shahran berkata, sindiket itu menjalankan aktiviti menjual gas dalam tong 50 kg (jenis industri) yang diisikan dengan

gas bersubsidi kepada pihak industri pada harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran sebenar.

"Semua individu yang ditahan gagal mengemukakan dokumen kebenaran menyimpan dan membawa LPG. Mereka ditahan bagi keperluan siasatan dan rakaman percakapan.

"Tindakan sitaan membabitkan lori lima tan, LPG 14 kg (38 tong), LPG 50 kg (98 tong), LPG 12 kg (118 tong) dan peralatan pemindahan gas.

"Anggaran keseluruhan LPG adalah sebanyak 2,400 kg dengan anggaran nilai rampasan RM 7,680.

"Manakala keseluruhan nilai rampasan pula mencecah RM 100,000. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 4:04 PM