Penguat Kuasa KPDN Negeri Sembilan melakukan pemeriksaan di sebuah stor di Kampung Bemban, Mambau, di sini, yang dipercayai melakukan penyelewengan gas LPG bersubsidi. FOTO IHSAN KPDN
Penguat Kuasa KPDN Negeri Sembilan melakukan pemeriksaan di sebuah stor di Kampung Bemban, Mambau, di sini, yang dipercayai melakukan penyelewengan gas LPG bersubsidi. FOTO IHSAN KPDN
Ahmad Hasbi


Seremban: Sebuah premis di Kampung Bemban, Mambau, di sini, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) selepas dikesan melakukan penyelewengan gas LPG bersubsidi, malam tadi.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, premis berkenaan didapati melakukan pemindahan gas LPG bersubsidi ke tong komersial.

"Ketika serbuan jam 10.50 malam itu, pasukan penguat kuasa menemui 24 tong 50 kilogram (kg) LPG yang berisi dan 39 tong 50 kg yang kosong untuk kegunaan industri.

"Turut ditemui sebanyak 114 tong 14 kg yang kosong untuk kegunaan domestik di stor berkenaan," katanya, hari ini.

Muhammad Zahir berkata, serbuan dijalankan hasil risikan selama sebulan oleh KPDN Negeri Sembilan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, hasil serbuan, pihaknya menyita 63 tong 50 kg LPG berisi dan kosong; 114 tong 14 kg LPG (kosong), sebuah lori, serta peralatan yang digunakan untuk pemindahan gas LPG dianggarkan bernilai RM 38,320 bagi tujuan siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati stor itu disyaki digunakan sebagai tempat memindahkan gas LPG bersubsidi ke dalam tong gas LPG kegunaan industri berdasarkan penemuan peralatan seperti hos paip, mesin pam dan alat timbang.

"Selain itu, premis dan individu yang ditemui di lokasi kejadian juga didapati tidak mempunyai sebarang lesen atau surat kebenaran dari Pengawal Bekalan bagi berurusan dengan Barang Kawalan Gas LPG," katanya.

Katanya, dua lelaki warga Myanmar berusia antara 20 hingga 30 tahun iaitu pekerja di stor berkenaan ditahan untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 12:05 PM