MOHD Zuhairi (kiri) menunjukkan gas LPG dipercayai digunakan dalam gas jual kepada pihak industi. FOTO Faiz Anuar.
MOHD Zuhairi (kiri) menunjukkan gas LPG dipercayai digunakan dalam gas jual kepada pihak industi. FOTO Faiz Anuar.
Raja Noraina Raja Rahim dan Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Aktiviti 'menyedut' tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi menggunakan ketulan ais sebelum dijual kepada pihak industri terbongkar, susulan serbuan di sebuah premis di Rawang, bulan lalu.

Serbuan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor pada 1.30 tengah hari, 29 Januari lalu.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, seramai 10 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi itu selepas menjalankan risikan selama sebulan.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis dijadikan tempat penyimpanan dan pengedaran LPG tidak berlesen.

"Pasukan menjumpai pelbagai peralatan seperti hos penyambung, tong berisi ais yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pemindahan (decanting) dari tong LPG 14 kilogram kepada tong 50 kilogram kegunaan industri tidak bersubsidi.

"Kita mengesyaki sindiket menjalankan aktiviti menjual gas industri yang diisikan dengan gas bersubsidi kepada pihak industri dengan harga lebih rendah berbanding pasaran," katanya dalam sidang media di Pejabat KPDN Selangor di sini, hari ini.

Mohd Zuhairi berkata, dalam serbuan berkenaan tiga lelaki iaitu dua pemandu lori dan seorang penjaga premis berusia antara 20 hingga 40 tahun turut ditahan.

Menurutnya, serbuan itu turut merampas dua lori dengan muatan tong LPG kosong dan berisi yang dipercayai untuk tujuan pengedaran dengan nilai keseluruhan rampasan RM103,411.

"Modus operandi sindiket adalah dengan membeli tong gas bersubsidi terus daripada penghantar di kawasan sekitar Rawang sebelum dibawa ke stor haram untuk proses decanting," katanya.

Katanya, tiga individu ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 21 dan Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 2:13 PM