KPDN menumpaskan penyelewengan gas petroleum cecair di Mantin, Negeri Sembilan, kelmarin. FOTO Ihsan KPDN
KPDN menumpaskan penyelewengan gas petroleum cecair di Mantin, Negeri Sembilan, kelmarin. FOTO Ihsan KPDN
Muhaamad Hafis Nawawi


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) dalam serbuan di sebuah premis di Mantin, Negeri Sembilan, dekat sini, kelmarin.

Ketua Pengarah Penguatkuasanya, Datuk Azman Adam berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bermula 11 malam itu adalah hasil risikan selama dua minggu.

Menurutnya, semasa serbuan, seorang lelaki leka melakukan aktiviti pemindahan LPG dari tong LPG berkapasiti 14 kilogram (kg) bersubsidi kepada tong LPG berkapasiti 50 kg .

"LPG 50kg itu seterusnya akan dijual kepada pihak industri dengan harga lebih rendah berbanding harga pasaran.

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli LPG 14kg bersubsidi terus dari lori penghantaran LPG di sekitar daerah Sepang, Nilai, Mantin dan Broga.

"LPG bersubsidi itu kemudiannya dibawa ke 'stor haram' terbabit seterusnya akan dipindahkan ke tong LPG 50kg untuk kegunaan industri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, beberapa tong gas kosong dan berisi pelbagai jenama berkapasiti 12kg, 14kg dan 50kg, kenderaan jenis lori 2.5 tan, alat penimbang pelantar elektronik, hos penyambung, telefon bimbit serta beberapa dokumen perniagaan lain disita bagi siasatan lanjut.

"Keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM60,000.

"Seorang lelaki berusia 40-an yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit juga ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu/syarikat yang terbabit dalam aktiviti ini serta mengenal pasti rantaian pengedaran LPG terbabit.

"Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 10:25 AM