Shamsul Nizam (dua dari kanan) bersama pegawainya memeriksa tong LPG yang dirampas di sebuah stor di Kampung Lubuk Kawah atas kesalahan menjalankan aktiviti pemindahan gas ke dalam tong gas domestik. FOTO AMRAN HAMID
Shamsul Nizam (dua dari kanan) bersama pegawainya memeriksa tong LPG yang dirampas di sebuah stor di Kampung Lubuk Kawah atas kesalahan menjalankan aktiviti pemindahan gas ke dalam tong gas domestik. FOTO AMRAN HAMID
Aizat Sharif


Jitra: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah menyerbu sebuah stor yang dijadikan tempat menjalankan aktiviti pemindahan haram Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi ke tong gas LPG industri di Kampung Lubuk Kawah, Mukim Naga, di sini hari ini.

Dalam ‘Ops Gasak’ yang dilaksanakan pada 1 tengah hari itu, 10 anggota dari kementerian berkenaan membuat pemeriksaan di premis terbabit setelah menerima maklumat daripada orang awam berkenaan kegiatan penyelewengan gas LPG yang berlaku di stor itu sebelum ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Negeri Kedah, Shamsul Nizam Khalil berkata, hasil risikan selama dua minggu oleh anggotanya, mendapati stor itu sememangnya digunakan secara haram untuk kerja pemindahan gas berkenaan.

"Ketika diserbu tiada sesiapa pun berada dalam stor ini dan kita mendapati terdapat 46 tong gas LPG industri seberat 50 kg berada dalam stor ini dimana 10 daripadanya terdapat gas dipercayai sudah dipindahkan dari tong gas bersubsidi seberat 12 dan 14 kg.

"Selebihnya pula, kita percaya sedang cuba untuk diisi oleh pemilik stor ini kerana terdapat banyak salur hos gas yang diubahsuai ditemui dalam stor ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di kawasan stor berkenaan.

Tambahnya lagi, modus operandi kegiatan itu adalah tong gas LPG industri yang sudah kosong tidak akan dihantar kepada syarikat petroleum yang menjadi pengeluar tong gas terbabit.

"Tong gas itu sebaliknya akan dibawa ke stor ini untuk diisi semula menerusi satu proses pemindahan dari tong gas domestik yang lebih kecil menggunakan salur hos gas yang diubahsuaisebelum diedarkan semula kepada semula ke kilang atau syarikat yang menggunakan gas seperti ini.

"Mengikut undang-undang, hanya syarikat petroleum yang menjadi pengeluar tong gas berkenaan sahaja yang boleh mengisi semula gas LPG industri ini," katanya.

Rampasan dianggarkan bernilai RM15,000.

Shamsul Nizam berkata, pihaknya sedang menyiasat identiti pemilik stor berkenaan untuk siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan LPG dengan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusniaga barang kawalan berjadual gas LPG tanpa lesen yang sah.

Jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 4:22 PM