ANTARA tong LPG yang di dalam stor berkenaan. FOTO Ihsan KPDNHEP
ANTARA tong LPG yang di dalam stor berkenaan. FOTO Ihsan KPDNHEP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


TIDAK sempat melarikan diri apabila stor haram digunakan untuk memindahkan gas petroleum cecair (LPG) subsidi ke tong LPG industri diserbu pihak berkuasa.

Dalam operasi jam 7 petang semalam, sepasukan 10 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP Ibu Pejabat Putrajaya bertindak menyerbu sebuah stor industri di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, Selangor.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, premis itu digunakan sebagai tempat untuk memindahkan gas LPG bersubsidi ke dalam tong LPG industri.

"Dalam pemeriksaan itu, anggota pasukan KPDNHEP menemui sejumlah 103 tong LPG seberat 50 kilogram (kg) setiap satu yang digunakan untuk industri.

"Turut ditemui 14 tong berisi LPG seberat 14 kg setiap satu untuk kegunaan domestik dan 190 tong LPG kosong.

"Turut disita adalah sebuah lori lima tan berserta LPG di dalamnya," katanya.

Beliau berkata, pihak KPDNHEP turut merampas peralatan yang digunakan untuk pemindahan gas seperti hos, penimbang dan peralatan pengepam gas LPG.

"Kesemua barangan disita itu dianggarkan bernilai RM 72,662. Dalam serbuan itu, kami berjaya menahan tiga lelaki warga Indonesia berusia 30 hingga 35 tahun yang berada di dalam premis.

"Turut diberkas seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun yang mengaku sebagai tuan punya premis bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah selain kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 membabitkan aktiviti mengilang LPG tanpa lesen sah.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP akan bertindak lebih cekap dan pantas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang membanteras sindiket penyelewengan subsidi barang kawalan demi kepentingan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 8:37 AM