- Foto hiasan
- Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kajang: Padah cuba mencuri kabel, seorang lelaki maut terjatuh dari tingkat 23 sebuah apartment di Kajang Utama di sini, manakala abangnya berjaya ditahan pengawal keselamatan bangunan berkenaan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, dua beradik berusia 29 dan 31 tahun itu bertindak melarikan diri sebaik perbuatan mereka disedari pengawal keselamatan yang menjalankan pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, polis menerima panggilan mengenai kejadian cubaan mencuri kabel pada 8.20 pagi.

"Siasatan mendapati, semasa kejadian seorang suspek berjaya ditahan pengawal keselamatan manakala seorang lagi suspek dipercayai terjatuh ketika cuba bersembunyi dan melarikan diri dengan melompat ke aras lain melalui balkoni.

"Lelaki itu disyaki tergelincir dan terjatuh ke tingkat empat bangunan berkenaan. Suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Kajang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, polis turut merampas enam gulung wayar tembaga bersama beberapa peralatan memotong kabel daripada suspek yang ditahan.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek yang ditangkap mempunyai lapan rekod jenayah lampau, malah ujian saringan air kencing juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Selain itu, katanya, suspek yang maut pula didapati mempunyai 10 rekod jenayah lampau.

Menurut beliau, polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, sementara suspek jatuh bangunan menyebabkan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Suresh Krishnan di talian 017-4333795 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 1:05 AM