Kejadian pokok tumbang yang menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh belas kenderaan terkesan dihempap pokok berkenaan akibat hujan lebat dan angin kencang di Jalan Sultan Ismail, semalam. FOTO BERNAMA
Kejadian pokok tumbang yang menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh belas kenderaan terkesan dihempap pokok berkenaan akibat hujan lebat dan angin kencang di Jalan Sultan Ismail, semalam. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang daripada dua individu yang cedera dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail di sini, semalam, dibenarkan keluar dari hospital pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Naazron Abd Yusof berkata, lelaki berusia 26 tahun yang juga pemandu e-hailing dibenarkan keluar pada 6 pagi, manakala penumpangnya iaitu seorang wanita warga Sweden berumur 72 tahun masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Jumlah mangsa yang cedera dalam kejadian itu kekal dua orang," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Naazron berkata, setakat ini, polis menerima 18 laporan berhubung kerosakan kenderaan akibat kejadian yang dipercayai berlaku pada 2.19 petang semasa hujan lebat dan angin kuat.

Kejadian itu juga menyebabkan seorang pemandu peribadi, Md Rizal Atan, 47, maut selain menyebabkan gangguan perkhidmatan monorel selepas dahan pokok yang berusia lebih 50 tahun itu turut menimpa landasan pengangkutan awam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 4:40 PM