Seorang pelajar cedera selepas terjatuh dari tingkat tiga di sekolahnya semalam. Gambar tular
Seorang pelajar cedera selepas terjatuh dari tingkat tiga di sekolahnya semalam. Gambar tular
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kajang: Seorang pelajar sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di sini parah selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga premis berkenaan semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 5.50 petang.

"Pihak polis menerima laporan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditemui dengan kesan kecederaan dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga.

"Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kajang bagi menerima rawatan atas kecederaan yang dialaminya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan beberapa anggota badan lain.

Naazron berkata punca kejadian masih dalam siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Sebarang maklumat berkaitan boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Faizal Azizi di talian 011-16120032 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 8:46 AM