FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nurul Hidayah Bahaudin


Semenyih: Seorang penjenayah hanya sempat melarikan beberapa pek rokok bernilai kira-kira RM50 selepas juruwang mengunci diri dalam stor dalam kejadian samun kedai serbaneka di Taman Semenyih Indah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira 7.20 malam ketika wanita berusia 21 tahun yang bekerja sebagai juruwang didatangi seorang lelaki.

Menurutnya, lelaki terbabit dilihat memakai topi dan mengikat mukanya dengan kain kuning serta bersenjatakan parang panjang.

"Suspek kemudian memaksa mangsa membuka kaunter (mesin daftar wang) dan menyerahkan wang tunai, namun wanita itu berdolak-dalik dengan mendakwa tiada kunci menyebabkan suspek naik angin.

"Mangsa bertindak melarikan diri ke dalam stor dan mengunci pintu selepas ditengking suspek yang mengarahkannya untuk menyerahkan telefon bimbit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, suspek kemudian meninggalkan premis itu dan pemeriksaan mendapati lelaki itu hanya melarikan beberapa pek rokok sahaja.

Menurutnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor K Suresh di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 11:43 AM