GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kajang: Ditampar, ditumbuk dan ditendang.

Itu penderitaan dialami dua beradik lelaki berusia 11 dan 12 tahun yang dipercayai menjadi mangsa buli sekumpulan pelajar senior di sebuah pusat tahfiz di Hulu Langat, di sini.

Kejadian itu terbongkar apabila bapa saudara dua pelajar itu melihat ada kesan kecederaan pada badan dan muka mereka lalu membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan kes berkenaan pada 6.19 pagi, Isnin lalu.

"Berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan fizikal di muka dan badan dipercayai akibat ditampar, ditumbuk dan ditendang oleh pelajar senior.

"Kejadian dipercayai berlanjutan selama beberapa bulan yang mana kedua-dua mangsa dibuli tanpa pengetahuan pengurusan pusat berkenaan.

"Malah, kedua-dua mangsa juga diugut supaya tidak menceritakan kejadian kepada sesiapa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bertindak atas laporan, Mohd Zaid berkata, polis menahan lima suspek berusia 14 hingga 24 tahun yang juga pelajar senior pusat tahfiz itu, pada hari sama.

Beliau berkata, kesemua suspek direman empat hari bermula semalam sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147/506 Kanun Keseksaan.

"Kedua-dua mangsa sudah dirujuk ke hospital dan doktor mengesahkan seorang mangsa mengalami pendarahan di mata kiri, manakala seorang lagi perlu menjalani pemeriksaan lanjut," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor K Suresh di talian 017-4333795 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 2:18 PM