Gambar hiasan
Gambar hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kajang: Berang asap masakan masuk ke dalam bilik, seorang lelaki tergamak membelasah adik perempuannya sehingga cedera dalam kejadian di sini, semalam.

Kejadian kira-kira 11 malam itu berlaku ketika mangsa berusia 24 tahun sedang memasak di dapur.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, bau dan wap masakan memasuki bilik tidur suspek, 31, yang terletak bersebelahan dapur.

"Suspek keluar dari bilik dan menunjukkan protes dengan cara menutup pintu secara kuat sambil memaki hamun adik perempuannya.

"Suspek juga bertindak menarik rambut, menumbuk dan menampar bahagian muka mangsa sehingga cedera serta patah gigi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, mangsa mendapatkan rawatan di hospital sebelum membuat laporan polis.

Bertindak atas laporan, katanya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan suspek di rumah mereka, pada 1.30 pagi tadi.

"Suspek direman selama empat hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor K Suresh di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 5:50 PM