FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


ANGKARA berebut tapak perniagaan, seorang peniaga dipukul dan dibaling durian dalam pergaduhan di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira 1 tengah hari itu tular di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian daripada mangsa pada 6.11 petang.

Menurutnya, lelaki berusia 52 tahun mendakwa diserang sekumpulan lima lelaki termasuk seorang dikenali dengan nama panggilan 'Joe' ketika sedang berniaga buah-buahan di gerainya.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek bertindak memukul mangsa menggunakan tangan dan dibaling buah durian.

"Selain itu, suspek turut merosakkan tapak perniagaan mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, siasatan mendapati punca pergaduhan disebabkan perebutan tapak perniagaan dan polis kini mengesan lima individu berusia 40-an hingga 50-an terbabit bagi membantu siasatan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor K Suresh di talian 017-4333795 atau 03-89114222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 8:10 PM