MOHD Puad Zarkashi. FOTO arkib NSTP
MOHD Puad Zarkashi. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: UMNO menempelak tindakan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, meminta supaya isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka, KK Mart tidak diperbesarkan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata, Sin Woon dilihat seperti cuba memandai-mandai menjadi pembela kepada KK Mart, sedangkan isu itu besar dan melukakan hati umat Islam.

Mohd Puad berkata, MCA seharusnya menegur kecuaian KK Mart itu dan bukannya menjadi pembela sekali gus tidak menghormati kuasa pembeli umat Islam negara ini.

"Ini bukan membesar-besarkan isu. Ini soal agama. Ia menghina umat Islam. Umat Islam adalah pelanggan utama KK Mart.

"Dakwaan Sin Woon bahawa boikot terhadap KK Mart adalah membabi buta dan semborono itu menambah sakit hati pengguna umat Islam.

"Apa maksud Setiausaha Agung MCA bahawa tindakan boikot itu menyebabkan negara jadi mangsa? Mana lebih berat jika berlaku huru-hara berbanding boikot.

"Sekurang kurangnya, tidak ada kedai KK Mart dibakar seperti apa yang berlaku di negara lain jika sensitiviti agama tidak dijaga," katanya dalam kenyataan dimuatnaik di Facebook, hari ini.

Semalam, MCA dilaporkan meminta Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, tidak memperbesarkan isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dilaporkan berkata, Dr Akmal juga tidak sepatutnya membuat gesaan supaya umat Islam memboikot kedai serbaneka berkenaan.

Sin Woon dilaporkan berkata, gesaan supaya rangkaian kedai itu diboikot secara semberono hanya merugikan negara.

Ia susulan tindakan Dr Akmal yang dilaporkan menggerakkan Pemuda UMNO di seluruh negara supaya membuat laporan polis berhubung isu berkenaan.

Dr Akmal turut menggesa KK Mart supaya mengemukakan permohonan maaf di kesemua premis perniagaannya selain menggesa supaya orang ramai memboikot perniagaan kedai serbaneka itu.

Pada 13 Mac lalu tular di media sosial stoking kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Rabu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) memohon maaf berhubung video dan gambar tular berkaitan penjualan stoking tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Pengendali rakaian kedai serbaneka itu turut meminta supaya tidak memboikot perniagaan mereka.

Kalimah Allah pada stoking tidak boleh dipandang remeh

'Boikot jika tiada permohonan maaf secara bertulis'

Stoking kalimah Allah diimport dari China

'Saya mohon maaf, tak mungkin kita buat perkara sebegini' - Pengasas KK Mart

KPDN akan lakukan semakan terperinci jualan stoking kalimah Allah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 11:03 AM