Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar . FOTO BERNAMA.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar . FOTO BERNAMA.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kalimah Allah adalah kalimah suci yang sangat tinggi di mata umat Islam dan meletakkannya pada stoking adalah satu penghinaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata, isu itu juga tidak boleh dipandang remeh meskipun ada pihak yang menyatakan supaya tidak perlu terlalu sensitif dalam menanganinya.

"Perkara sensitif melibatkan umat Islam sukar untuk dimaafkan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan dan syarikat KK Supermart serta pemborong perlu ambil iktibar atas apa yang berlaku," katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran Program Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdul Aziz Al Saud di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini.

Mohd Na'im berharap permohonan maaf yang dihulurkan syarikat bertanggungjawab menjadi pengajaran untuk mereka tidak mengulangi kesalahan di masa depan.

"Kita harap bukan syarikat ini sahaja untuk tidak mengambil remeh, bahkan mana-mana pihak perlu pastikan terlebih dahulu barangan yang ingin diimport dan dijual di negara ini," katanya.

Pada 13 Mac lalu tular di media sosial penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di beberapa kedai rangkaian serbaneka KK Supermart.

Mohd Na'im turut memberitahu sudah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memanggil pihak pengurusan KK Supermart untuk berbincang dalam memastikan perkara itu tidak berulang.

Beliau juga meminta umat Islam bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan lanjut.


'Saya mohon maaf, tak mungkin kita buat perkara sebegini' - Pengasas KK Mart

Stoking kalimah Allah diimport dari China

'Boikot jika tiada permohonan maaf secara bertulis'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 10:31 PM