Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh hari ini ditahan di Ibu Pejabat Daerah Kota Kinabalu.

Penahanan itu disahkan beliau di Facebook rasminya.

"Saya ditahan di IPD Kota Kinabalu pagi ini walaupun sudah dijadualkan untuk memberi keterangan esok di IPD Dang Wangi.

"Insya-Allah saya akan berikan kerjasama sepenuhnya. Doakan semuanya dipermudahkan," katanya.

Beliau juga bertegas, tidak akan berganjak walau seinci dengan pendiriannya.

Pemuda UMNO sebelum ini memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stoking tertera kalimah 'Allah.'

Dr Muhamad Akmal juga dipetik memberi amaran Pemuda UMNO akan memulakan boikot lebih kuat terhadap KK Super Mart sekiranya pengurusan kedai serbaneka itu gagal mematuhi tuntutan pergerakan berkenaan.

Menerusi hantaran melalui media sosial, Dr Muhamad Akmal menegaskan, Pemuda UMNO meneruskan kempen boikot KK Super Mart dengan meminta orang ramai memeriksa sama ada pengurusan kedai serbaneka itu sudah menaikkan kenyataan permohonan maaf seperti yang dituntut pergerakan berkenaan.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial stoking tertera kalimah 'Allah' dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Pada 16 Mac, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah 'Allah', di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

MUHAMAD Akmal Saleh. FOTO arkib NSTP
MUHAMAD Akmal Saleh. FOTO arkib NSTP

KPN sahkan penahanan Ketua Pemuda Umno

'Tidak akan berganjak dengan pendirian kita'- Dr Akmal

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 11:09 AM