Ketua Pemuda UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh menunjukkan salinan laporan polis selepas membuat laporan di Balai Polis Merlimau, malam tadi. FOTO AMIR MAMAT
Ketua Pemuda UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh menunjukkan salinan laporan polis selepas membuat laporan di Balai Polis Merlimau, malam tadi. FOTO AMIR MAMAT
Oleh Amir Mamat


Jasin: Pemuda Umno akan mengetuai gerakan memboikot rangkaian kedai serbaneka KK Mart di seluruh negara sekiranya tiada permohonan maaf secara bertulis dibuat di semua 881 cawangannya.

Ketuanya Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, semua premis cawangan KK Mart sudah diminta untuk memasang kain rentang permohonan maaf kepada seluruh umat Islam atas tindakan mereka menjual stoking tertera kalimah Allah dalam tempoh dua hari atau berhadapan dengan kempen boikot sehingga kedai itu ditutup.

"Saya nak beritahu, kempen untuk memboikot sudah bermula sejak semalam apabila satu video saya (dimuat naik) dalam Tiktok saya yang meminta untuk boikot.

"Saya mengingatkan KK Mart atau mana-mana pihak bahawa kuasa membeli adalah di tangan kita. Jangan sesekali bermain dengan isu sentimen dan sensitiviti 3R (agama, bangsa, institusi diraja)," katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Jasin selepas membuat laporan di Balai Polis Merlimau, di sini, malam tadi.

Dr Muhamad Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata, beliau sudah mengarahkan semua Pemuda Umno negeri membuat laporan polis terhadap penjualan stoking terbabit bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 298 (A) Kanun Keseksaan.

Penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di KK Mart Bandar Sunway, Selangor tular selepas gambar produk diimport dari China itu dimuat naik pengguna di media sosial sejak 13 Mac lalu.

Susulan itu, pelbagai pihak tampil mengecam tindakan kedai serbaneka terbabit sebelum pengasasnya dan syarikat pembekal membuat sidang media permohonan maaf, semalam.

KK Supermart sebelum ini mengeluarkan permohonan maaf selepas penjualan stoking itu tular di media sosial.

Kedai serbaneka itu dilaporkan sudah menghentikan penjualan produk yang dibuat oleh Miranosock itu.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart Datuk Seri Dr KK Chai dilaporkan berkata, beliau juga berang dengan pembekal stoking berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 1:46 PM