Ling Tian Soon.
Ling Tian Soon.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pemuda MCA menyeru orang ramai menerima permohonan maaf terbuka pengurusan KK Super Mart yang terpalit isu kontroversi penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon berkata, pada masa sama beliau turut menggesa Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh supaya bertenang dan tidak mengajak orang ramai memboikot kedai serbaneka itu.

Menurutnya, MCA termasuk Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon tidak memandang remeh isu berkenaan.

"Benar, penjualan stoking yang dicetak kalimah Allah memang perbuatan yang tidak betul dan menimbulkan kemarahan orang ramai khususnya umat Islam di negara ini.

"Tiada siapa dapat menafikan kesilapan besar dan kecuaian pihak pengurusan KK Super Mart, terutamanya cawangan yang terbabit. Salah tetap salah.

"Pengurusan KK Super Mart mengambil tanggungjawab dan segera tampil di khalayak ramai dengan mengadakan sidang media sejurus insiden berlaku," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mereka juga rasa kesal dan memohon maaf dengan apa yang berlaku serta berjanji untuk memastikan kejadian sama tidak berulang.

"Justeru, saya menyeru permohonan maaf secara terbuka oleh pengurusan KK Super Mart diterima oleh orang ramai khususnya masyarakat Islam.

"Selanjutnya, kita boleh bersama-sama memantau sama ada janji pihak pengurusan KK Super Mart ditepati atau sebaliknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 2:58 PM