Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. FOTO ASYRAF HAMZAH
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menjalankan siasatan terhadap Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berkaitan ucapan dan tindakan individu berkenaan berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Super Mart.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

"Siasatan dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selepas semua tindakan melengkapkan siasatan diambil, "katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membangkitkan isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah memandangkan mereka yang terbabit sudah dituduh dan proses keadilan akan ditentukan mahkamah.

Terdahulu, Dr Akmal menerusi Facebook rasminya memaklumkan ditahan di Ibu Pejabat Daerah Kota Kinabalu.

Pemuda Umno sebelum ini memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stoking tertera kalimah 'Allah'.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial stoking tertera kalimah 'Allah' dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna. Pada 16 Mac, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah 'Allah', di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

'Tidak akan berganjak dengan pendirian kita'- Dr Akmal

'Saya ditahan di IPD Kota Kinabalu' - Akmal

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 11:49 AM