Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegaskan baginda tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.

Baginda bertitah, semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang sudah dibentuk.

"Ingin saya tegaskan di sini, yang saya tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.

"Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.

"Jika ada yang hendak bermain politik, tunggulah semasa pilihan raya yang akan datang," titah baginda semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, hari ini.

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat. FOTO BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat. FOTO BERNAMA

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal; Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor dan Alice Lau Kiong Yieng serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Mengulas lanjut, baginda juga mengingatkan bahawa Parlimen merupakan tempat penggubal undang-undang berhimpun bagi membuat peraturan dan ahli dewan merupakan penggubalnya.

"Oleh itu adalah tidak masuk akal jika penggubal itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat.

"Saya harap semua ahli-ahli dewan akan tunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di dewan yang mulia ini. Jaga adab dan tatatertib serta gunakan tutur kata yang sopan.

"Bukannya memaki hamun orang lain. Kalau tengok ahli dewan sebelum ini, saya pun rasa malu nak masuk ke dalam dewan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 12:17 PM