YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V ketika Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aizuddin Saad
YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V ketika Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aizuddin Saad
Rizanizam Abdul Hamid


TANDA pagar #siladudukdanjanganlari dan #siladudukjanganlari merujuk kepada titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menjadi trending dan bualan pengguna media sosial, hari ini.

Rata-rata mereka menyifatkan video titah baginda itu ketika memulakan ucapan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ke-14, hari ini penuh bermakna walaupun dilakukan secara berseloroh dan bersahaja.

Pemerhatian di Facebook (FB) Media Selangor antaranya mendapati video berdurasi kurang seminit itu mendapat lebih 42,600 perkongsian selain hampir 3,000 komen sehingga jam 4.30 petang hari ini.

Pengguna FB, Andreano Ng dalam komennya menulis dia amat menghormati dan menyanjung tinggi kandungan ucapan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Menyeluruh, telus, menyentuh isu-isu yang melanda negara kita dan nasihat-nasihat baginda yang membina! Terbaik. Daulat Tuanku.”

Faiz Al Ramlan pula menulis,”Simple (ringkas) dan comel je Tuanku Yang di-Pertuan Agong melawak... Tapi ‘deep’ (mendalam) maksudnya," diikuti Zaujah Reza menulis “kelakar YDPA kita ni, sedikit je kata-kata tapi menghiris bak belati tajam.”

Sementara itu, Siti Shahrosamirah menerusi status FBnya pula gembira melihat reaksi wajah Yang Berhormat (YB) sebaik sahaja mendengar seloroh Sultan Muhammad V.

“Aku nak tengok muka-muka YB kita tu sebenarnya. Gelak jugak korang. Muka KJ tu konon puas la tu. Tok Zahid, Tok Najib tu seronok pula aku tengok dorang senyum gelak. Kan bagus senyum dan gelak-gelak selalu begini,” tulisnya.

Suasana hari pertama di Dewan Rakyat hari ini menjadi gamat seketika tatkala Sultan Muhammad V memulakan ucapan pembukaan berikutan titah bersahaja baginda meminta semua Ahli Parlimen supaya tetap berada di tempat masing-masing mendengar ucapan baginda.

“Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tuan Yang Dipertua Dewan Negara dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Sila duduk dan jangan lari,” titah baginda sambil tersenyum sebelum duduk mengambil tempat.

Serentak itu, ia disambut dengan gelak ketawa Ahli Parlimen yang berada di dalam Dewan Rakyat termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kabinet.

Turut ketawa ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta Ahli Parlimen pembangkang yang lain.

Selepas keadaan kembali reda, Sultan Muhammad V memulakan titah ucapan perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen ke-14.

Tidak dapat dipastikan baginda merujuk kepada Ahli Parlimen di pihak mana, namun ia mungkin ada kaitan dengan tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang bertindak keluar dewan ketika upacara pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, semalam.

Semua wakil Barisan Nasional (BN) dan PAS, kecuali Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN-Rembau), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis) dan Datuk Rozman Isli (BN-Labuan) bertindak meninggalkan dewan sebagai tanda memprotes pelantikan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Pembangkang mendakwa pelantikan Mohamad Ariff tidak mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1) Dewan Rakyat, namun tetap mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di hadapan Yang Dipertua selepas protes berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 5:37 PM