Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim melihat selepas 60 tahun negara ini dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna.

"Masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum yang lain.

"Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan untuk merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni," titah baginda.

Baginda juga menyeru agar semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif yang melibatkan raja, kaum dan agama.

"Perlembagaan telah mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan akan terus kekal terpelihara. Namun begitu, agama lain boleh diamalkan dengan aman tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.

"Oleh itu, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba menggugat atau mempolitikkan asas Perlembagaan ini," titah baginda semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, hari ini.

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal; Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor dan Alice Lau Kiong Yieng serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

SULTAN Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini. Turut kelihatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO Bernama
SULTAN Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini. Turut kelihatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 1:56 PM