SULTAN Ibrahim berkenan berangkat ke Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini. FOTO Bernama
SULTAN Ibrahim berkenan berangkat ke Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini. FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, hari ini, secara berseloroh menyatakan baginda khuatir ada dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan tertidur mendengar titah ucapan baginda.

Dalam titah sulung semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, Sultan Ibrahim memaklumkan bahawa baginda memendekkan ucapannya.

"Saya takut ada juga yang tertidur kalau panjang sangat (ucapan) ini. Jadi saya pendekkan sedikit," seloroh baginda.

Ia menyebabkan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang berada bersebelahan tersenyum mendengar titah berkenaan.

Sultan Ibrahim sebelum itu bertitah bahawa istiadat berkenaan amat bermakna bagi baginda kerana ia julung kali baginda hadir ke Parlimen selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.

"Saya adalah orang baharu di sini dan belum sampai satu bulan memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, banyak perkara yang saya kena belajar.

"Ucapan saya pada hari ini, lebih halus kalau dibandingkan dengan ucapan saya di Johor. Saya beri peluang supaya tidak ada yang tersinggung, tetapi akan datang harap-harap berjaga-jaga," titah baginda.

Amaran secara sinis dikemukakan Sultan Ibrahim mendapat tepukan Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Baginda bertitah, pemerintahan baginda adalah sama seperti Yang di-Pertuan Agong sebelumnya iaitu mengikut Perlembagaan, dasar dan peraturan yang ditetapkan.

"Kedudukan saya di sini adalah bagi menjalankan tanggungjawab dan memikul amanah Raja-Raja Melayu untuk memastikan kedaulatan tanah air, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat akan sentiasa dipelihara," titah baginda

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 4:32 PM