Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyeru kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya meningkatkan usaha dan galakan untuk pengeluaran barangan dalam negara terutama bekalan makanan harian serta bahan mentah.

Baginda bertitah, usaha meningkatkan pengeluaran makanan hendaklah dilaksanakan secara lebih tersusun bagi memastikan tahap makanan negara mencapai sasarannya.

"Pada masa yang sama, pelbagai program untuk meringankan beban petani, penternak, nelayan dan pengeluar makanan perlu ditingkatkan agar penghasilan dan pendapatan mereka berada pada tahap tinggi.

"Oleh kerana kos import yang semakin tinggi, saya menyeru kepada kerajaan untuk meningkatkan usaha dan galakan untuk pengeluaran barangan dalam negara, terutama bekalan makanan harian dan bahan mentah," titah baginda.

Baginda bertitah sedemikian semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, hari ini.

 YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat. FOTO BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 12:29 PM