TUANKU Abdul Halim berkenan menyampaikan titah ucapan. FOTO Yazit Razali
TUANKU Abdul Halim berkenan menyampaikan titah ucapan. FOTO Yazit Razali
Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Parlimen ke-13 bagi Penggal Keempat, pagi tadi.

Keberangkatan tiba Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun pada 10 pagi disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Turut menyambut keberangkatan tiba baginda berdua, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu, pembukaan penggal keempat Parlimen dimulakan dengan perbarisan kawalan kehormat berlangsung di Dataran Parlimen, Bangunan Parlimen.

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah kemudiannya diiringi untuk menerima sembah 'Hormat Diraja' daripada Kawalan Keselamatan Utama Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Majlis diteruskan dengan pancaragam Batalion Rejimen Askar Melayu Diraja memainkan lagu Negaraku diikuti tembakan meriam 21 das.

Baginda kemudiannya diiringi ke Bilik Diraja untuk sesi bergambar sebelum berangkat ke Dewan Rakyat untuk menyampaikan titah ucapan.

Tepat 10.50 pagi, loceng istiadat dibunyikan dan Seri Paduka diiringi ke Dewan Rakyat untuk menyampaikan titah ucapan.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari bermula hari ini manakala Dewan Negara akan bermula pada 18 April hingga 4 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 12:03 PM