AMIRUDIN (tengah) pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Penjenamaan Identiti Korporat Kumpulan Hartanah Selangor Berhad di Shah Alam Convention Centre. FOTO Faiz Anuar
AMIRUDIN (tengah) pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Penjenamaan Identiti Korporat Kumpulan Hartanah Selangor Berhad di Shah Alam Convention Centre. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Tindakan merampas tanah yang dijadikan tapak pelupusan sampah haram di Kapar, Klang tidak boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat serta tergesa-gesa.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia perlu mengikut undang-undang dan kerajaan negeri perlu memberi tempoh masa tertentu kepada pemilik tapak berkenaan untuk memulihkan tanah, sebelum tindakan selanjutnya boleh diambil.

"Kita (kerajaan Selangor) pernah kalah dalam kes mahkamah kerana merampas tanah dalam tempoh singkat yang mana kita tidak beri masa (secukupnya) kepada pemilik untuk pulihkan tanah.

"Jadi untuk kes ini, kita memang kena beri masa kepada pemilik untuk pulihkan tanah. Jika kita rampas, kemungkinan kita akan kalah saman (berdasarkan pengalaman lepas).

"Saya percaya Pejabat Tanah dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) sudah keluarkan notis tertentu kepada pemilik untuk memulihkan tanah.

"Tapi jika sampai masanya dan mereka gagal, kerajaan negeri akan melaksanakan proses seterusnya iaitu pengambilan tanah dan selepas pengambilan dibuat baru kita boleh pulihkan kawasan tersebut," katanya ditemui selepas Majlis Pelancaran Penjenamaan Identiti Korporat Kumpulan Hartanah Selangor Berhad di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), hari ini.

Pada 16 November lalu, media melaporkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengarahkan pemilik tanah segera membersihkan lokasi seluas 9.7 hektar di Kapar di sini yang dicemari minyak dan bau enjin kenderaan sehingga mengganggu penduduk sejak awal November lalu.

Menteri Sumber Asli dan dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad turut hadir melawat lokasi yang terletak berhampiran lima kawasan perumahan itu.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata pembinaan 2,300 unit rumah mampu milik di Bernam Jaya, Hulu Selangor yang dijangka bermula tahun depan bakal membuka peluang perniagaan dan pekerjaan baharu di kawasan utara Selangor.

Katanya, projek pembangunan rumah teres setingkat bawah Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) atas tanah seluas 191 ekar mampu merancakkan ekonomi di kawasan terbabit.

"Penerokaan kawasan baharu (untuk pembinaan rumah mampu milik) sebagai contoh di Bernam Jaya akan menjadi pemangkin kepada pembangunan masa depan terutama di Utara Selangor.

"Lebih-lebih lagi dengan pembinaan Proton City bersebelahan Bernam Jaya yang kita percaya limpahannya boleh dinikmati oleh penduduk dan warga Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 5:12 PM