Foto hiasan
Foto hiasan
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Seluas 427 hektar tanah milik kerajaan negeri di sembilan daerah diceroboh di Selangor.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Kuala Langat merekodkan pencerobohan tanah paling tinggi iaitu sebanyak 142.85 hektar diikuti Klang (86.1 hektar), Petaling dan Kuala Selangor masing-masing 40.46 hektar, Hulu Langat (34 hektar), Gombak (32.3 hektar), Sepang (29.1 hektar), Hulu Selangor (20.2 hektar) dan Sabak Bernam (1.4 hektar).

"Kesemua pencerobohan itu sudah dikeluarkan Notis 425 Kanun Tanah Negara oleh pentadbir tanah berkaitan untuk proses seterusnya," katanya di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau berkata sedemikian ketika menjawab pertanyaan Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (PH-MERU) berkaitan keluasan tanah kerajaan yang diceroboh di di negeri itu.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan kebanyakan pencerobohan tanah dilakukan untuk aktiviti pertanian.

"Bagaimanapun, lama-kelamaan ia turut membabitkan aktiviti bangunan (rumah), lokasi pembuangan sampah haram serta stor," katanya.

Menurutnya, sejak 2008 hingga 2015, kerajaan negeri melakukan pemutihan rumah (bangunan) yang diduduki tanpa kebenaran.

"Bermula 2014, kita memberi peluang untuk pemilikan tanah kosong dengan harga pasaran dan syarat tertentu.

"Bagaimanapun, tindakan itu bukan untuk menggalakkan pembinaan rumah tanpa kebenaran tetapi ia adalah satu usaha pemutihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 11:53 AM