Nur Lela Zulkipli


SELANGOR bakal memiliki pangkalan data lengkap berkaitan pengurusan risiko bencana di seluruh negeri itu menjelang 2022.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, inisiatif itu bagi meningkatkan tahap pengurusan dan persiapan agensi berkaitan serta keselamatan dalam kalangan penduduk negeri itu bagi menghadapi sebarang situasi bencana.

Menurutnya, kerajaan negeri bersama Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Penyelidikan Antarabangsa Sains Bencana (IRIDeS) memulakan kajian laporan risiko bencana selama empat tahun sejak Mac tahun lalu.

“Berdasarkan laporan awal mendapati kita memerlukan pengumpulan data, peta bencana Selangor dan negara serta pembinaan komunikasi untuk berdepan situasi itu selepas melakukan kajian di daerah Hulu Langat, Kapar dan Klang.

“Kita juga perlu melihat bagaimana untuk menangani risiko selepas bencana yang kerap kali berulang, sama ada ia berpunca daripada kelemahan pengurusan pentadbiran atau bencana alam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan Buku Laporan Risiko Bencana: Pengenalpastian Risiko Tanah Runtuh dan Banjir Berasaskan Sains di Selangor di Shah Alam hari ini.

Proses pungutan dan kajian data itu dijalankan melalui Program Meningkatkan Keselamatan Dalam Komuniti Dengan Memahami Risiko Bencana (SeDAR).

Program berkenaan turut menelan belanja kira-kira RM2.8 juta bagi mengatasi bencana dalam kalangan komuniti di negara itu dengan menjadikan Selangor selaku negeri perintis.

Amirudin berkata, pangkalan data menerusi kajian itu juga dapat membantu kerajaan negeri khususnya dalam meramal sesuatu bencana yang akan dihadapi nanti.

Katanya, sebagai contoh taburan hujan 60 milimeter boleh mengakibatkan banjir kilat dan pihaknya sebenarnya sudah mempunyai peta hampir 50 lokasi panas sejak 2010 berkaitannya dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor sedang berusaha mengatasinya.

“Malaysia dalam beberapa tahun ini juga menghadapi risiko bencana seperti tempias Taufan Lekima turut terkesan pada Selangor (Sabak Bernam) yang menyebabkan kerosakan dan kita kena bersedia dengan perkara ini.

“Ini termasuk dalam aspek komunikasi dan koordinasi antara jabatan kerajaan negeri dan rakyat serta struktur bangunan yang komprehensif dan mampan dapat diimplimentasi seperti model negara lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 6:38 PM
Amirudin (tengah) bersama exco negeri menunjukkan buku laporan risiko bencana selepas mempengerusikan mesyuarat bencana alam di Shah Alam hari ini. Foto Roslin Mat Tahir
Amirudin (tengah) bersama exco negeri menunjukkan buku laporan risiko bencana selepas mempengerusikan mesyuarat bencana alam di Shah Alam hari ini. Foto Roslin Mat Tahir